JOHOR BAHRU - Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya membantu memindahkan 61 penduduk dari Lorong Mak Piah, Sungai Tiram, Ulu Tiram, di sini yang terjejas akibat banjir pada malam Rabu.
Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Faiz Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian banjir pada jam 7.31 malam.
"Setibanya di lokasi didapati berlaku banjir kilat setinggi satu meter di kawasan kampung tersebut.
"Anggota bertindak memindahkan penduduk terjejas ke Dewan Raya Sungai Tiram untuk penempatan sementara dengan menggunakan satu unit bot Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Ulu Tiram dan satu unit bot orang awam," katanya.
Tambah Mohd Faiz, kesemua mangsa yang berjaya diselamatkan itu terdiri daripada 23 lelaki, 20 wanita, empat warga emas, 12 kanak- kanak dan dua bayi.
"Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sungai Tiram dibuka pada jam 11 malam.
"Jumlah keseluruhan mangsa di PPS Dewan Sungai Tiram seramai 101 orang daripada 31 buah keluarga.
"Hujan telah berhenti di lokasi dan pemantauan berterusan masih dilakukan di lokasi," katanya.