Roblox pro-Palestin remaja Malaysia jadi perhatian dunia

Iklan
Ys Rizqiyyah (kiri) memberi reaksi terhadap penularan video Roblox pro-Palestin oleh remaja dan kanak-kanak Malaysia.

SHAH ALAM - Ratusan kanak-kanak dan remaja Malaysia menjadi perhatian dunia apabila melakukan protes pro-Palestin dalam permainan video Roblox sejak beberapa hari lalu.

Menerusi video ulasan YouTuber Indonesia, Ys Rizqiyyah berkata, Malaysia berjaya menyampaikan mesej kemanusiaan kepada penduduk dunia sehingga ia tular dan menjadi topik perbincangan di platform media sosial.

Iklan
Iklan

Menurutnya, golongan muda di Malaysia mempunyai idea yang luar biasa dan mampu memberi inspirasi kepada masyarakat dunia.

Video ulasan oleh Ys Rizqiyyah dimuat naik sejak Selasa telah menerima 19,000 tontonan dengan jumlah langganan 308,000 orang.

Iklan

"Adakah Malaysia tidak mengajak negara lain?

"Di Indonesia harus buat seperti ini juga.

Iklan

"Idea mereka ini sangat bagus.

"Solidariti pro-Palestin sangat luar biasa.

"Mesej kemanusiaan yang ingin disampaikan kepada penduduk dunia sangat hebat,” katanya pada Rabu.

Pada 25 Oktober lalu, pelajar, Razz, 15, berjaya menggunakan pendekatan kreatif untuk membangunkan pelayan (server) permainan video dalam talian yang diberi nama Dataran Mas menerusi platform Roblox.

Permainan tersebut turut dipromosi oleh pencipta kandungan, Cikgu Zyd, 32, bersama rakan-rakannya sebagai menyokong solidariti dalam talian tersebut.

Menjengah ke ruangan komen, orang ramai berpendapat kreativiti pelajar tersebut telah membuka mata ramai pihak untuk lebih mengambil berat berkenaan krisis peperangan di Palestin.

Bagi pengguna SeriMalaysia3562 berkata, perarakan secara maya yang dilakukan itu telah menjadi tular dan kini Malaysia mula dikenali hampir seluruh dunia.

"Kreatif luar biasa sekali sampai tular satu dunia.

"Memang terbaik,” katanya.

Menurut Acap-ip9mm, platform permainan video itu telah berjaya menyampaikan mesej kepada penduduk dunia dan melahirkan perasaan terharu melihat kesungguhan anak muda Malaysia mengangkat isu Palestin.

"Tanpa disedari mengalir air mata.

"Al-Fatihah untuk saudara saudariku di sana," tulisnya.

Dalam pada itu, Saefaree3337 berkata, walaupun kerajaan tidak membenarkan kanak-kanak menyertai protes terhadap Israel, namun mereka tetap menunjukkan solidariti kepada penduduk di Gaza dengan menggunakan teknologi sedia ada.

"Jika negara lain tidak mahu dan enggan memulakannya, biarkan anak-anak kita memulakan solidariti bersama Palestin menerusi permainan Roblox," ujarnya.