Inisiatif KPT sasar siswazah peroleh gaji premium meyakinkan

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

INISIATIF Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyasarkan peningkatan peratusan siswazah yang memperoleh gaji premium RM4,000 sebulan menerusi kerjasama industri dilihat berada pada tahap holistik dan meyakinkan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usaha itu dibuat bagi memastikan pelajar lepasan universiti memiliki kemampuan dan bercirikan industri tersedia menerusi pelaksanaan kaedah lebih berfokus dan bersasar.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, melalui projek rintis yang pernah dilakukan sebelum ini, ia mampu melahirkan siswazah dengan gaji sekitar RM4,000 sebulan.

Tambahnya, berkenaan peratusan lepasan universiti yang berjaya memperoleh gaji premium setakat ini, beliau mengambil contoh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang sudah mencapai 30 peratus, manakala universiti tempatan lain pada tahap 10 hingga 15 peratus.

Iklan

"Jadi, usaha untuk pastikan mereka dapat gaji premium ini tidak datang secara automatik, tetapi perlu ada kerjasama dengan industri secara khusus, spesifik dan strategik,” katanya.

Sementara itu, KPT turut mewujudkan platform digital Pengurusan Kebolehpasaran Graduan (GEM) bagi membolehkan pelajar lepasan universiti di bawah kementerian tersebut memohon peluang latihan amali dan pekerjaan selain memudahkan industri mengenal pasti calon yang memenuhi kriteria.

Iklan

Ujarnya, ia juga merupakan intervensi terbaik KPT dalam meningkatkan kebolehpasaran siswazah selain menentukan penyelesaian bagi isu ketidaksepadanan kerja dengan kemahiran dimiliki, gaji permulaan, nilai tambah dan sebagainya.

Dalam pada itu, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman memaklumkan mengenai kebiasaan majikan dalam memilih siswazah yang memiliki kemahiran teknikal dan insaniah bagi melayakkannya memperoleh kerja sesuai.

Jelas Syed Hussain, pengurusan masa, komunikasi lisan dan bertulis bahasa Inggeris serta kerja berpasukan cemerlang menjadi antara kriteria utama pilihan majikan terhadap graduan baharu selain kemahiran berfikir secara kritis.

Selain itu katanya, majikan memerlukan graduan yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan syarikat secara konsisten kerana mahu memenuhi kehendak Revolusi Industri 4.0 dan teknologi kecerdasan buatan (A.I).

Oleh yang demikian, graduan lepasan universiti perlu merebut peluang menjadi individu yang mampu memberikan sumbangan kepada syarikat baik dari segi idea ataupun keringat sehingga mampu memperoleh gaji premium.

Tidak dinafikan, segelintir anak muda masa kini kekok apabila berkomunikasi dengan orang sekeliling kerana terlalu banyak menghabiskan masa dengan melayari internet dan media sosial.

Namun, ia bukanlah alasan untuk mengehadkan segala bentuk interaksi dengan masyarakat, bahkan dalam konteks mencari pekerjaan yang menawarkan pelbagai industri pilihan.