SHAH ALAM - Dadah yang dirampas tidak boleh diguna semula tetapi dilupuskan selepas individu berkenaan menerima hukuman.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, selepas kajian dan juga menerima pandangan pihak tertentu dadah itu tidak berkualiti untuk sebarang kegunaan yang berfaedah.
Iklan
Iklan
Menurutnya, persoalan itu sering ditanya termasuk kalangan orang awam.
"Apabila sudah ada penghukuman, dadah itu boleh dilupuskan. Kita bawa semua ke Jabatan Alam Sekitar dan kita bakar. Habis di situ.
"Bagaimanapun perlu menunggu kes habis, kita selalunya simpan dalam stor simpanan barang kes. Namun ia kadang kala ambil masa setahun hingga dua tahun. Bergantung kepada kes tersebut," katanya ketika ditemubual pada Sinar Live di sini hari ini.
Bagaimanapun, dadah mesti dirampas dan dihapuskan di pasaran.
Ekoran itu, melalui Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) memerangi dadah, pihaknya telah mengubah indeks petunjuk prestasi (KPI) utama dari jumlah tangkapan kepada jumlah dadah dirampas.