PENGENDALI Manchester United, Erik ten Hag mahu semua para pemainnya bersatu untuk menghadapi prestasi kurang baik pasukan itu selepas tersingkir daripada Piala Liga kepada Newcastle United dalam aksi 16 pasukan terbaik di Old Trafford pada Khamis.
"Itulah satu-satunya cara, kekal bersama.
"Tetapi anda perlu berdisiplin dan anda perlu melakukannya bersama-sama, semua orang perlu bertanggungjawab dan bekerjasama," kata pengurus Belanda itu yang berada di bawah tekanan hebat selepas permulaan terburuk kelab itu setakat ini.
Newcastle berjaya membalas dendam kekalahan musim lalu kepada Manchester United dalam perlawanan akhir Piala Liga dengan kemenangan 3-0.
Mereka bermain dengan lebih baik dan membuatkan United gagal mempamerkan persembahan sebenar dengan penonton di Old Trafford mengecam The Red Devils.
"Anda mendapat keyakinan apabila anda mendapat keputusan yang betul, dan ia hanya berlaku apabila anda mematuhi peraturan, mengikut prinsip dan berada dalam permainan.
"Kami perlu memenangi pertempuran, mengharungi perjuangan dan anda perlu melakukannya sebagai satu pasukan," katanya.
Manchester United telah tewas lima daripada 10 perlawanan pertama mereka di tempat sendiri dalam semua pertandingan buat kali pertama sejak 1930-31.
Mereka juga berada di tempat kelapan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas tewas lima daripada 10 perlawanan EPL.
Ditanya sama ada pemain Manchester United mempunyai perwatakan yang diperlukan untuk mengharungi cabaran yang sukar ini, Ten Hag berkata:"Saya yakin pemain akan bangkit dan bersatu. Ini tidak cukup baik. Saya bertanggungjawab untuk perlawanan ini. Kami harus berdiri bersama-sama,” katanya.