TUARAN - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Sabah berjaya mencapai lebih 90 peratus sasaran pelaksanaan program Skim Getah Matang (SGM) di negeri itu sepanjang Oktober lalu.
Pencapaian itu dinyatakan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan RISDA, Ahmad Zainal Abdullah sekali gus membuktikan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu sentiasa komited untuk memastikan pengeluaran hasil getah yang optimum menerusi aktiviti para pekebun kecil.
"Pelaksanaan SGM ini merangkumi inisiatif bantuan secara lima peringkat dengan penambahan bantuan SGM Tanam Semula berjumlah RM 8,400 kepada para pekebun kecil di Sabah dan Sarawak.
"Hasilnya, setakat Oktober lalu, RISDA telah mencapai lebih 90 peratus pelaksanaan SGM dengan peruntukan RM840,000 dengan keluasan keseluruhan 10,000 hektar pada tahun ini,” katanya berucap pada majlis perasmian Kempen Gerakan Peningkatan Produktiviti Getah (GPPG) dan Konvensyen Amalan Pertanian Baik (GAP) Peringkat RISDA Negeri Sabah 2023 di Dewan Seri Sulaman, di sini, pada Rabu.
Tambah Ahmad Zainal, bagi keluasan 14,000 hektar lagi akan diperkasakan menerusi inisiatif SGM dari semasa ke semasa berdasarkan peruntukan sedia ada.
Jelas beliau, bagi SGM peringkat satu dan dua, ia disediakan untuk memperkasakan pengurusan ladang melalui teknologi terkini.
Bagi SGM peringkat satu, ia khusus kepada pemilik kebun getah matang yang terjejas akibat bencana atau ditinggalkan membuka panel torehan. Malah, mereka turut dibekalkan dengan bantuan baja, set torehan dan racun rumpai dengan nilai RM 2,500 setiap hektar di Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, inisiatif peringkat dua menawarkan bantuan kepada pemilik kebun dengan penyediaan baja RISDA 4 sebanyak 50 beg bagi setiap hektar dan racun rumpai dengan nilai yang sama seperti Pakej SGM peringkat satu.
"Seterusnya melalui SGM peringkat tiga, empat, dan lima, ia fokus untuk memberikan insentif kepada pekebun kecil yang berjaya mencapai sasaran produktiviti yang ditetapkan.
"Bagi SGM Tanam Semula pula, inisiatif itu turut diperkenalkan untuk mengaktifkan semula kebun getah tua yang tidak lagi memberi pulangan ekonomi. Bantuan ini bernilai RM 400 per hektar dengan komponen selenggara kebun dan bahan rangsangan lateks," ujarnya.
Dalam pada itu, Ahmad Zainal berkata, objektif utama inisiatif SGM itu adalah bagi memastikan peningkatan pengeluaran hasil getah pekebun kecil kepada sasaran 1,800 kilogram satu hektar setahun dan memperoleh pendapatan lebih dari RM 1,500 daripada hasil kebun getah.
Malah RISDA katanya telah membelanjakan RM3.22 juta melalui Program Prasarana Asas Pertanian bagi memudahkan warga pekebun kecil getah di Sabah untuk melaksanakan aktiviti pengeluaran hasil getah.