BERA - Detik cemas buat 336 penumpang Kereta Api Ekspres Rakyat Timuran (ERT) selepas tren yang dinaiki mereka terlanggar 14 ekor lembu di Kilometer (KM) 84.5 hingga KM 84.75 di antara Bahau dengan Stesen Triang pada awal pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir memberitahu, dalam kejadian kira-kira jam 3.10 pagi itu, tren yang turut membawa lima krew tersebut mengalami kerosakan pada bahagian enjin dan paip BP, MV dan vacum patah.
Menurutnya, kesemua penumpang selamat dan tiada kecederaan dialami.
"Tiada halangan ditemui pada atas kawasan landasan.
"Perjalanan tren melibatkan lapan gerabak itu dari Gemas ke Tumpat kemudiannya diteruskan selepas pemeriksaan kerosakan dilakukan," kata beliau dalam kenyataan pada Khamis.
Ujar Zulkiflee, kesemua lembu yang terlibat ditemui mati akibat kejadian tersebut.
Dalam pada itu, beliau memberitahu kekerapan kes melibatkan tren dan haiwan ternakan sejak kebelakangan ini
"Insiden ini mengundang bahaya dan berisiko kepada penumpang walaupun sebelum ini belum berlaku sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa.
"Jadi kita mengingatkan para penternak selain bertanggungjawab dengan haiwan ternakan masing-masing," tambah beliau.
Ujar Zulkiflee lagi, tindakan penguatkuasaan oleh pihak-pihak berkaitan perlu dilakukan bagi mengelakkan kejadian yang lebih buruk di masa akan datang.