KUALA LUMPUR - Minggu Solidariti Palestin peringkat Kementerian Pendidikan (KPM) berlangsung dengan baik dan berjaya menyebarkan mesej mengenai kemanusiaan, keamanan serta kedamaian secara jelas khususnya dalam kalangan murid.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, malah program berkenaan dijalankan mengikut proses yang mengambil kira tahap pemahaman golongan murid mengenai konflik Palestin-Israel.
"...sekolah-sekolah ini mempunyai dinamik masing-masing dan menjadi tanggungjawab guru-guru memastikan mesej ini sampai mengikut aktiviti yang dirasakan sesuai dengan sekolah.
"Jadi ini adalah mesej jelas bahawa tujuan kita adakan (Minggu Solidariti Palestin) adalah untuk mengangkat pendirian negara dan memastikan mesej itu sampai kepada seluruh anak murid kita,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Minggu Solidariti Palestin di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad Razali di Ampang dekat sini hari ini.
Minggu Solidariti Palestin dilaksanakan bermula 29 Oktober hingga esok bagi menyahut pendirian kerajaan untuk terus bersama-sama mempertahankan hak dan kebebasan rakyat Palestin.
Program itu diadakan di sekolah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru di seluruh negara, bertujuan mendidik pelajar mengenai nilai manusiawi yang turut merangkumi hak asasi manusia dan sifat ihsan.
Mengenai isu garis panduan berhubung penganjuran Minggu Solidariti Palestin dikeluarkan KPM yang menjadi perdebatan dalam kalangan rakyat, Fadhlina berkata perkara berkenaan tidak timbul kerana garis panduan itu adalah jelas untuk komuniti pendidikan.
"Garis panduan itu adalah untuk sekolah, untuk makluman kepada pentadbir sekolah dan dilaksanakan di sekolah dan bagi komuniti pendidikan ia adalah jelas. MenjadI polemik kerana ia dipolitikkan dan dikacau ganggu oleh orang luar,” katanya. - Bernama