ALOR SETAR - Mangsa lemas berusia tiga tahun yang terjatuh ke dalam kolam di Kampung Sungai Emas Hujung, Kota Kuala Muda di Sungai Petani pada Rabu tidak sabar menunggu kehadiran adiknya yang bakal dilahirkan pada Mei tahun depan.
Muhammad Syafiq Amsyar Mohd Sufian pada setiap malam akan bercakap dan mengusap-usap perut ibunya, Nur Khairina Natasha Sarino, 24.
Memori tersebut antara kenangan yang tidak mampu dilupakan oleh Nur Khairina malah mereka juga tidak pernah berenggang sebelum ini.
"Setiap kali hendak tidur, dia akan usap perut saya kerana tak sabar nak tunggu adiknya lahir walaupun usia kandungan saya baru mencecah empat bulan.
"Arwah juga tak sabar untuk masuk ke sekolah tahun depan dan saya baru bercadang nak ambil borang tadika untuknya tahun depan, tapi tak sangka dia pergi buat selama-lamanya," katanya semasa ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini pada Khamis.
Muhammad Syafiq Amsyar ditemukan lemas bersama sepupunya, Muhammad Aidil Adha Mohd Ali, 5, selepas bapa Muhammad Aidil Adha dibantu jirannya menarik pukat di kolam ternakan udang itu sebelum menjumpai jasad kedua-duanya.
Jelas Nur Khairina, walaupun reda dengan pemergian anak sulungnya itu, namun masih lagi terngiang-ngiang suara arwah anaknya.
"Saya cakap mama reda adik pergi tapi kenapa bawa semangat mama sekali.
"Saya sempat melihat jenazahnya dan nampak wajahnya berseri-seri serta putih malah dia seolah-olah sedang tidur," ujarnya.
Sementara itu, bapa kepada Muhammad Aidil Adha, Mohd Ali Abdul Rahman, 48, berkata, anak kelima daripada tujuh beradik itu kerap mengikutnya ke kolam ternakan udang itu yang tidak jauh dari rumah mereka.
Menurutnya, Muhammad Aidil Adha memelihara seekor arnab sejak awal tahun ini dan sering bermain dengan haiwan itu di kawasan kolam ternakan udang, namun tidak sangka kejadian pada Rabu menyebabkan kehilangan anaknya.
"Arwah turut menghubungi kakak sulungnya, Nur Alia Natasha yang belajar di Sekolah Menengah Vokasional Sungai Petani supaya pulang ke rumah semalam tetapi tak sangka itu petanda dia akan pergi buat selamanya," katanya yang masih sebak.
Jenazah dua kanak-kanak itu akan dibawa pulang ke kampung mereka di Kampung Sungai Emas, Kota Kuala Muda di Sungai Petani.
Mereka dijangka dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Sungai Emas, Kota Kuala Muda pada petang Khamis.