SABAK BERNAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima sebanyak RM700 juta kutipan zakat di seluruh negeri ini sehingga September lalu.
Timbalan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Md Yusmizan Yusuf berkata, hasil kutipan zakat itu diyakini melebihi sasaran ditetapkan sebanyak RM1.2 bilion pada tahun ini.
Menurutnya, pada tahun lalu sahaja, LZS berjaya mengutip sebanyak 1.07 bilion dengan pengagihan sebanyak RM1.05 bilion.
"LZS optimis dengan berkat doa semua umat Islam kita yakin dapat melebihi sasaran kutipan zakat pada tahun ini dan seterusnya dapat mengagihkan kepada golongan dan institusi memerlukan di Selangor," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Zakat kepada Individu dan Agensi di Majis Padu Permai Sungai Besar, di sini pada Khamis.
Mengulas mengenai penyerahan zakat itu, Md Yusmizan berkata, sebanyak RM1.9 juta diagihkan kepada surau, masjid, sekolah dan individu asnaf di Sabak Bernam.
Beliau memberitahu, daripada jumlah itu, sebanyak RM707, 255.64 disalurkan kepada 17 masjid dan surau bagi sumbangan bantuan bina dan baik pulih serta bantuan peralatan institusi agama.
Katanya, sebanyak 19 sekolah membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Sekolah Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) Integrasi turut menerima sumbangan bantuan bina dan baik pulih berjumlah RM837,878.
"Manakala seramai 10 individu asnaf fakir dan miskin masing-masing menerima bantuan baik pulih rumah sebanyak RM43,000 setiap seorang, dengan jumlah keseluruhan bantuan zakat bernilai RM430,000," jelas beliau.
Dalam perkembangan sama, katanya, LZS telah bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi mengenal pasti keluarga pelajar memerlukan, namun masih belum mendapat bantuan zakat melalui saringan kelayakan sebagai asnaf melibatkan sekolah-sekolah sekitar Sabak Bernam.
"Ini bagi memastikan keluarga pelajar yang layak, tidak keciciran mendapatkan bantuan zakat dari LZS.
"Maklumat berkenaan keluarga pelajar ini dikumpul menerusi edaran borang dalam talian yang dibuat sepanjang September dan Oktober lalu oleh pihak sekolah," ujar beliau.
Kata beliau, sehingga kini, LZS telah menerima lebih 900 maklum balas daripada ibu bapa dan penjaga pelajar untuk dibanci dalam program Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) seterusnya didaftarkan sebagai asnaf fakir dan miskin LZS.