Tindakan nelayan Vietnam campak tali elak dicekup gagal

Iklan
Syed Nor Adli (kanan) menunjukkan tali yang digunakan oleh nelayan warga Vietnam bagi bertujuan merosakkan kapal Maritim Malaysia Kelantan semasa cubaan melarikan diri.

PASIR PUTEH - Tindakan nelayan Vietnam mencampakkan tali bagi mengelakkan daripada dicekup gagal selepas ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan pada Isnin.

Ancaman itu bertujuan merosakkan Kapal Maritim Jujur (KM Jujur), bagaimanapun ia membawa kepada penangkapan lima nelayan termasuk tekong yang masing-masing berusia 24 hingga 31 tahun pada jam 9.20 pagi.

Iklan
Iklan

Pengarahnya, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Abdul Rahman berkata, turut dirampas semasa serbuan itu pelbagai jenis ikan seberat 1,000 kilogram (kg), bot, peralatan menangkap ikan, navigasi dan komunikasi serta 7,000 liter diesel yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

Syed Nor Adli (kanan) memeriksa nelayan warga Vietnam yang ditahan semasa Op Damai Khas Kuda Laut dan Op Naga Barat.

"Mereka dikesan menceroboh perairan negara pada jarak 173 batu nautika dari Tenggara Muara Tok Bali semasa Op Damai Khas Kuda Laut dan Op Naga Barat.

Iklan

"Menyedari kehadiran KM Jujur, bot terbabit mengelak dari ditahan dan cuba melarikan diri ke sempadan Vietnam," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.

Menurut beliau, pihaknya mengambil masa lebih satu jam untuk mengejar sebelum berjaya menahan bot tersebut dengan melakukan 'force boarding'.

Iklan

Ujarnya, bot serta lima nelayan warga Vietnam terbabit ditahan dan dibawa ke jeti Maritim Malaysia Kelantan untuk siasatan lanjut.