MACHANG - [DIKEMAS KINI] Tiga pekerja warga Bangladesh ditemukan maut tertimbus di tapak pembinaan sebuah lebuh raya di Kampung Maka Pulai Chondong pada Khamis.
Saksi kejadian, Anies Asiykin Ariffin, 29, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, dia sedang mencuci pinggan di sinki dapur yang menghadap lokasi kejadian kira-kira 50 meter dari rumah.
Menurutnya, ketika itu beberapa rakan mangsa dilihat berlari ke arah pemandu mesin pengorek sambil menunjukkan tempat mangsa terjatuh.
"Saya hanya melihat situasi itu dan tidak mengendahkan kejadian sehingga dimaklumkan biras, Siti Rohani Setapa, 38, selepas dia pulang mengambil anak dari sekolah," katanya ketika ditemui di pekarangan rumahnya pada Khamis.
"Sebelum ini ada masanya kami berkomunikasi dan menyediakan minuman untuk pekerja di situ. Mungkin kesemua mangsa baru datang ke sini," katanya.
Ketua Polis Daerah Machang Superintenden Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.
Menurut beliau, polis menerima laporan daripada orang awam kira-kira jam 2.30 petang.
"Kesemua mangsa lelaki dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an," katanya.
Jelasnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Machang untuk tindakan lanjut.