Kemelut MYAirline: PERKESO laksana lima program interversi

Iklan
PERKESO sudah menjalankan lima program intervensi dalam membantu merungkai kemelut dialami pekerja syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline. (Gambar kecil: Mohammed Azman)

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sudah menjalankan lima program intervensi dalam membantu merungkai kemelut dialami pekerja syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline Sdn Bhd (MYAirline).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, intervensi pertama diadakan melalui mesyuarat secara dalam talian bersama pengurusan sumber manusia syarikat penerbangan berkenaan pada 12 Oktober lepas, iaitu sejurus selepas MYAirline mengumumkan penggantungan operasi.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, bersandarkan maklumat mengenai situasi semasa pekerja syarikat penerbangan itu, PERKESO kemudiannya bekerjasama dengan Malaysia Airlines Bhd (MAS) merencana usaha menyerap kakitangan MYAirline melalui temu duga bagi jawatan kru kabin, jurutera dan khidmat pelanggan pada 14 Oktober.

Mohammed Azman berkata, perkembangan itu membawa kepada dua lagi mesyuarat lanjutan secara dalam talian dan fizikal dilangsungkan, masing-masing pada 18 serta 19 Oktober.

Iklan

"Mesyuarat membabitan pengurusan tertinggi MYAirline ini adalah untuk merangka program susulan yang perlu diadakan secepat mungkin, demi memastikan kebajikan dan kelangsungan hidup pekerja syarikat penerbangan ini terjamin.

"Hasil mesyuarat itu kemudian membawa kepada taklimat faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dan pemprofilan pekerja oleh Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan untuk kakitangan MYAirline bertempat di Subang Jaya, selama dua hari bermula 25 Oktober,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Iklan

Mohammed Azman berkata, menerusi taklimat itu, PERKESO turut mendapatkan butiran pekerja MYAirline untuk proses 357 permohonan faedah SIP bagi tempoh maksimum selama enam bulan, demi menjamin kelangsungan hidup keluarga mereka.

Katanya, usaha PERKESO menyalurkan bantuan demi merungkai kemelut dialami pekerja MYAirline turut mendapat kerjasama daripada Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM).

Mengulas lanjut, Mohammed Azman berkata, status kontrak perkhidmatan pekerja MYAirline yang seakan tergantung adalah antara faktor yang mempengaruhi proses permohonan faedah melalui Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

Beliau berkata, bagaimanapun PERKESO akan terus melipatgandakan usaha ke arah penyaluran bantuan termasuk dari segi pemberian faedah, penempatan pekerjaan baharu dan peningkatan kemahiran dalam kalangan pekerja MYAirline.

Katanya, adalah penting untuk majikan memastikan caruman PERKESO untuk pekerja dibuat mengikut ketetapan kerana jika majikan culas, kebajikan kakitangan bakal terjejas apabila pembuangan kerja berlaku.

Mohammed Azman berkata, pihaknya memandang serius majikan yang tidak berdaftar dan mencarum pekerja di bawah seliaan mereka dengan PERKESO dan tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan terhadap perkara itu.

Sebelum ini, MYAirline mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa 12 Oktober sehingga diberitahu kelak, antara lain disebabkan tekanan kewangan yang menyebabkan operasi perlu digantung sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat.

Semalam, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengumumkan pihaknya telah menggantung Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) MYAirline berkuat kuasa serta-merta iaitu penggantungan itu akan menjaga kepentingan penumpang dan pekerja yang terjejas akibat penggantungan operasi MYAirline, serta mengambil kira cabaran yang dihadapi oleh industri penerbangan pascapandemik Covid-19. - Bernama