Penghantaran pertama bantuan kemanusiaan untuk Palestin esok

Iklan
Penduduk Palestin mencari mayat dan mangsa yang terselamat di antara runtuhan kem pelarian Jabalia sehari selepas serangan udara melanda kawasan di utara Gaza. - Foto EPA

KUALA LUMPUR - Penghantaran pertama barangan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin dijadual dihantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Al-Arish Mesir melalui penerbangan kargo pada 9 malam esok.

Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Jismi Johari berkata, penghantaran pertama itu melibatkan keperluan perubatan dan barangan lain sebanyak 20 tan, sebelum diikuti penghantaran kedua sebanyak 30 tan yang dijadual pada 10 November ini.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, 50 tan barangan bantuan kemanusiaan dengan nilai hampir RM7 juta itu berjaya dikumpul menerusi Ops Ihsan oleh 45 badan bukan kerajaan (NGO) dalam tempoh 24 jam.

"Perjalanan bantuan tersebut akan bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Al-Arish Mesir dan dibawa masuk melalui sempadan Rafah dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir.

Iklan

"Kita jangka barangan itu sampai kepada rakyat Palestin dalam tempoh tiga hingga lima hari bermula esok bergantung kepada kebenaran untuk barang itu masuk ke Rafah,” katanya pada sidang media penghantaran pertama bantuan kemanusiaan Ops Ihsan kepada rakyat Palestin di Gaza di sini pada Khamis.

Pelepasan bantuan kemanusiaan akan disertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan ketua perwakilan asing.

Iklan

Pada Sabtu dan Ahad lepas, hampir 800 sukarelawan daripada pelbagai lapisan masyarakat terlibat dalam membantu urusan penerimaan, pengasingan, pengumpulan data hingga kepada penyusunan barangan di dalam kotak yang disediakan di gudang Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) di Sepang, Selangor. - Bernama