KIRA-KIRA 500 peserta sukan lasak larian berhalangan disasarkan menyertai Gemas Warrior Challenge 2023 di Gemas Golf Resort pada 17 Disember depan.
Kejohanan julung kalinya diadakan anjuran Majlis Daerah Tampin (MDT) dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) itu bertujuan mempromosi sukan lasak dan menarik lebih ramai pelancong ke negeri itu khususnya Gemas.
Setiausaha MDT, Zulhilmi Marzuki berkata, peserta perlu melalui pelbagai halangan termasuk meredah cabaran berbukit, persekitaran kelapa sawit, memanjat bukit selain menempuh halangan serta berlari sejauh 7 kilometer (km).
"Gemas cukup dengan pakej pelancongan. Ada penginapan, lokasi bersejarah, tempat riadah, tempat makan, kebudayaan dan warisan yang menjadikannya antara destinasi pelancongan utama di Tampin.
"Mengharapkan program sulung itu dapat direalisasikan menjadi antara acara sukan lasak komersial yang disertai para peserta seluruh negara,” katanya selepas mempengerusi mesyuarat membincangkan produk dan pelancongan Daerah Tampin.
Zulhilmi menjelaskan, acara berkenaan terbahagi kepada dua kategori iaitu lelaki dan wanita melibatkan jarak larian 7km dan 5km dengan pelbagai halangan menunggu para peserta kelak.
"Setiap kategori menawarkan hadiah tempat pertama hingga kelima. Pemenang tempat pertama bakal menerima wang tunai RM500, kedua RM400, ketiga RM300, keempat RM300, manakala tempat kelima RM100 beserta hadiah iringan,” katanya.
Menurutnya, menerusi yuran penyertaan RM40, peserta layak menerima baju larian, pingat serta cabutan bertuah dan peserta hendaklah berumur 15 tahun ke atas serta sihat tubuh badan.
"Tahun ini, MDT mewujudkan produk sukan lasak ke Gemas bagi merancakkan ekonomi dan pelancongan di daerah itu.
"Ia bagi membudayakan gaya hidup sihat, selain mengisi masa lapang khususnya cuti hujung minggu bersama ahli keluarga.
"Tambah menarik, cabutan bertuah menarik turut disediakan untuk pemenang bertuah,” katanya.
Menurut Zulhilmi, Transnaning Ultra NS Challenge dan Tampin MTB Jamboree Moncheh merupakan program yang berjaya menaikkan nama Daerah Tampin dengan menarik penyertaan dari seluruh negara.
Justeru beliau berharap menerusi penganjuran Gemas Warriors Challenge mampu menaikkan lokasi baru di Gemas pula.
Gemas juga mempunyai lokasi pelancongan menarik antaranya Stesen Keretapi Gemas, Tugu Peringatan Sungai Kelamah dan Gua Emas Bukit Jalor untuk dilawati.
Maklumat lanjut, layari laman https://www.facebook.com/gemaswarriorschallenge, manakala bayaran boleh dibuat atas nama NADI MEDIA EVENTS, Maybank 564548155436 atau hubungi Mei 013-3664765, Lee 012-2846811, Zai 012-2526183 dan Mil 017-3395421.