KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menjalankan tiga pendekatan serta-merta bagi memantau isu harga ayam susulan penamatan subsidi dan kawalan harga yang berkuat kuasa semalam.
Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah tersebut ialah meneruskan aspek pemantauan dan penguatkuasaan dengan mengguna pakai Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, selain mempertimbangkan penggunaan Akta Persaingan 2010 jika perlu.
"Seterusnya, melaksanakan mitigasi bersasar mengikut kawasan memandangkan ada tempat tertentu yang kita lihat mempunyai isu,” katanya pada sidang media pelancaran Kad Diskaun Khas Menu Rahmah, pada Khamis.
Selain itu, Armizan berkata, KPDN akan meneruskan program intervensi khususnya di kawasan yang terdapat isu penawaran harga ayam melebihi RM9.40 sekilogram yang pernah ditetapkan sebelum ini.
Bagi program intervensi itu, beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan supaya diperbanyakkan program Jualan Rahmah dan Jualan Agro Madani untuk memastikan rakyat mempunyai akses bekalan ayam pada harga munasabah.
Pada masa sama, Armizan berkata, akan meneruskan aktiviti turun padang bersama Timbalan Menteri Perdagangan dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar bagi memastikan tiada ketirisan harga ayam berlaku.
Selain itu, beliau berkata, KPDN juga bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk mengenal pasti faktor jika terdapat peniaga menjual ayam dengan harga tinggi termasuk sama ada disebabkan kekurangan bekalan atau faktor lain.
"Penguat kuasa kita juga akan turun dan bertanya apakah masalah dan isu, berapa kos dan margin keuntungan mereka.
"Sekiranya kita tengok terlalu tinggi (harga jualan) yang tak munasabah mungkin kita boleh nasihat dan ambil tindakan undang-undang berdasarkan peruntukan sedia ada," katanya.
Berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan semalam, beliau berkata, 90 peratus kawasan yang dipantau menjual ayam di bawah paras RM9.40 sekilogram.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu pada 30 Oktober mengumumkan kerajaan menamatkan sepenuhnya pemberian subsidi dan harga kawalan bagi ayam bermula 1 Nov, manakala pemberian subsidi dan harga kawalan telur gred A, B dan C dilanjutkan mengikut mekanisme sedia ada.
Mohamad berkata, penamatan subsidi secara pukal itu untuk mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati warga asing dan golongan berpendapatan tinggi, selain meminta orang ramai tidak membuat pembelian panik dalam tempoh beberapa hari ini memandangkan bekalan ayam dijamin mencukupi.- Bernama