Pimpinan negeri ambil alih pengurusan Bersatu Kuala Kangsar, Labuan - Hamzah

Iklan
Hamzah - Foto Bernama

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memutuskan badan pimpinan negeri mengambil alih pengurusan Bahagian Kuala Kangsar dan Labuan yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, langkah itu dibuat sementara menunggu keputusan Lembaga Disiplin terhadap kedua-dua ketua bahagian berkenaan yang juga ahli Parlimen.

Iklan
Iklan

Menurutnya, parti tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku disiplin dalam kalangan ahli khususnya membabitkan ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

"Seluruh ahli Parlimen Bersatu kekal istiqamah bersama kepimpinan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan sebarang cubaan pihak luar untuk memecah-belahkan kesatuan parti melalui tindakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar dan Labuan tidak akan berjaya.

Iklan

"Bersatu amat komited dalam usaha memperkasakan Perikatan Nasional (PN) yang telah mendapat mandat serta sokongan besar rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) dan pilihan raya negeri (PRN) lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid mengumumkan menyokong kepimpinan Perdana Menteri selepas meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

Iklan

Pada 30 Oktober, seorang lagi ahli Bersatu iaitu Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman mengumumkan sokongan kepada Anwar dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor.

Susulan daripada itu, Hamzah memaklumkan bahawa Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan berkuatkuasa serta-merta bagi menggantikan Suhaili.