BAGAN SERAI - Seorang wanita maut manakala dua lagi cedera dalam nahas membabitkan sebuah bas persiaran dan lima lori di Kilometer 200.4 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Gunung Semanggol di sini pada Khamis.
Panggilan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting pada jam 11.33 pagi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat awal mendapati, kejadian berlaku apabila lori muatan sawit dinaiki mangsa bersama dua yang lain melanggar bahagian belakang sebuah bas membawa enam penumpang.
Menurutnya, pelanggaran itu mengakibatkan kemalangan empat lori lain dari arah sama.
Beliau berkata, kesemua penumpang bas dilaporkan terselamat dan mereka telah dipindahkan ke bas lain untuk meneruskan perjalanan.
Katanya, anggotanya turut membuat pemantauan ke atas semua kenderaan terlibat bagi memastikan tiada unsur yang menyebabkan kebakaran.
"Operasi tamat pada jam 1.11 tengah hari," katanya.
Kejadian turut mengakibatkan aliran trafik dari Bukit Merah ke Taiping Utara perlahan lebih satu jam akibat lorong kiri yang terhalang.