Terengganu terima kunjungan Tun M, perkukuh kerjasama antara negarawan

Iklan
Dr Mahathir disambut Abdul Hadi ketika tiba ke teratak Presiden Pas itu di Rusila, Marang pada Khamis. - Foto Ihsan Media MB Terengganu

MARANG - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerima kunjungan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di rumahnya di Rusila, Marang pada Khamis.

Hadir sama pada pertemuan itu ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Muhammad Khalil Abdul Hadi; Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman dan Pengerusi Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Iklan
Iklan

Menurut hantaran di laman Facebook Mohd Syahir sebentar tadi, pertemuan itu antara lain turut berbincang mengenai State Government 4 (SG4) serta potensi dalam bidang pelaburan dan pembangunan.

"Menyantuni kunjungan Tun Dr Mahathir ke teratak Ayah Chik (Tan Sri Abdul Hadi) di Rusila, juga solat Zohor berjemaah di Masjid Rusila.

Iklan

"Kehadiran Tun ke Terengganu atas urusan SG4 bersama Menteri Besar, bagi meneroka bidang pelaburan dan pembangunan. Semoga beroleh kebaikan," tulisnya ringkas.

Difahamkan figura politik tanah air itu meluangkan masa makan tengah hari di kediaman Abdul Hadi dan menunaikan solat Zohor berjemaah di Masjid Rusila, Marang.

Iklan

Sebelum itu, Dr Mahathir turut meluangkan masa bertemu Ahmad Samsuri di Pejabat Menteri Besar Terengganu di Wisma Darul Iman.

Dr Mahathir turut meluangkan masa menunaikan solat Zohor berjemaah di Masjid Rusila, Marang. - Foto Ihsan Media MB Terengganu

Ahmad Samsuri menerusi hantaran di laman Facebook rasminya pada Khamis turut memaparkan gambar kunjungan negarawan itu.

"Pertemuan untuk memperkemaskan lagi kerjasama antara negarawan, Tun Dr Mahathir Mohamad. Buah fikiran serta pengalaman beliau begitu mahal buat kami.

"Terima kasih Tun M sudi datang ke negeri cantik, Terengganu Darul Iman," tulisnya.

Ahmad Samsuri sebelum itu bergegas menyambut kehadiran Dr Mahathir selepas menghadiri Sambutan Ulangtahun ECERDC Ke-15 dan Sesi Bicara Pelaburan di Permai Hotel di sini sebelum mengiringi Dr Mahathir ke teratak Abdul Hadi.

"Apabila figura tokoh negarawan yang dihormati dan disegani bertemu, banyak bicara mereka. Kita yang masih muda ini, perlu banyak menuntut daripada kedua-duanya.

Sebelum ini, empat negeri di bawah pentadbiran pembangkang iaitu Kedah, Kelantan Perlis dan Terengganu tampil dengan idea penubuhan SG4.

Antara langkah awal diambil selepas penubuhan SG4 ialah melantik Dr Mahathir sebagai penasihat bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu membantu menarik pelaburan terutama dari Jepun, China, Korea Selatan dan Timur Tengah.