Jamin tiada peniaga ambil kesempatan naik harga ayam

Iklan
Kerajaan Negeri Sembilan memberi jaminan tiada peniaga atau pembekal di negeri ini akan mengambil kesempatan terhadap penamatan subsidi dan kawalan harga ayam. (Gambar kecil: Jalaluddin)

REMBAU - Kerajaan Negeri Sembilan memberi jaminan tiada peniaga atau pembekal di negeri ini akan mengambil kesempatan terhadap penamatan subsidi dan kawalan harga ayam yang berkuat kuasa pada Rabu.

Exco Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, penguatkuasaan akan dilakukan daripada masa ke masa supaya perkara tersebut tidak berlaku sekali gus memastikan harga ayam dalam pasaran adalah terkawal.

Iklan
Iklan

Menurutnya, apabila subsidi ini ditamatkan, persepsi rakyat ialah harga bekalan kepada barangan yang ditamatkan subsidi ini kemungkinan besar akan naik harga.

"Tetapi ini semua boleh saya katakan bergantung kepada pasaran kita ataupun bekalan, kalau bekalan ayam kita memenuhi ataupun mencukupi daripada permintaan rakyat maka harga akan kekal stabil.

Iklan

"Baru-baru ini harga ayam di Mydin umpamanya selepas penamatan subsidi dijual dengan harga RM7.99," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai Majlis Penyerahan Elaun Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKKP) Negeri Sembilan di Chembong di sini pada Khamis.

Iklan

Jalaluddin berkata, itu adalah satu contoh yang boleh berlaku di pasaran luar bandar dan sekitar bandar supaya pembekal dan pemain dalam industri ini mendukung hasrat kerajaan, tidak mengambil kesempatan di atas kesusahan rakyat.

Dalam pada itu, katanya, harga ayam dalam pasaran di negeri ini masih terkawal, namun tidak menafikan ada menerima rungutan daripada orang awam mengenainya.

"Tindakan susulan akan dilakukan melalui penguatkuasaan oleh agensi bertanggungjawab," katanya.

Pada majlis berkenaan seramai 741 individu yang merupakan pengerusi dan setiausaha JPKKP Negeri Sembilan menerima tunggakan elaun selama lapan bulan membabitkan jumlah keseluruhan hampir RM3.7 juta.