Minggu Solidariti Palestin: Fadhlina minta semua pihak jangan ganggu ekosistem sekolah

Iklan
Fadhlina ketika Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, pada Khamis. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengingatkan semua pihak, baik penyokong kerajaan mahu pun pembangkang agar tidak mengganggu ekosistem sekolah yang bersifat dinamik dengan pelbagai bangsa, kepercayaan dan latar belakang.

Merujuk kepada penganjuran program Minggu Solidariti Palestin oleh Kementerian Pendidikan (KPM), beliau berkata, semua pihak perlu memahami makna dan tujuan program itu diadakan, iaitu bagi mendidik murid sekolah berkaitan nilai kemanusiaan, keamanan dan pendidikan kedamaian.

Iklan
Iklan

"Jangan ganggu ekosistem sekolah dan guru-guru kami. Sekolah ini dinamik sifatnya, ada pelbagai kepercayaan, ada pelbagai latar belakang dan kedinamikan ini hanya ada pada guru untuk mengenal pasti apakah program yang sesuai," katanya.

Menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat pada Khamis, Fadhlina berkata, program itu dilaksanakan di sekolah bagi menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga pendirian kerajaan untuk sama-sama mempertahankan hak dan kebebasan rakyat Palestin.

Iklan

"Nirmala kemanusiaan adalah asbab utama mengapa KPM mahu tampil dalam melaksanakan Minggu Solidariti Palestin. Beri ruang kepada kami untuk melaksanakan tanggungjawab kami dan mengutamakan proses pendidikan kemanusiaan ini.

"Anak-anak yang didedahkan dengan 1,001 emosi memerlukan panduan dan pedoman dalam menavigasi emosi ke arah yang lebih murni. Ini bukan bukan soal siapa ‘terpaling’ Palestin, bukan soal siapa yang tunduk kepada desakan-desakan dangkal yang memilih antara dua kemanusiaan,” tegasnya.

Iklan

Fadhlina berkata, beliau menerima semua pandangan, kritikan dan syor daripada pelbagai pihak termasuk saranan agar program itu diisi dengan amalan doa mengikut agama masing-masing dan ia telah dilaksanakan di beberapa sekolah.

"...Jangan bising dan susah hati kalau sekolah tiada takbir atau Qunut Nazilah. Ada sebab kenapa ia berlangsung dalam suasana dan aktiviti yang dibenarkan dengan kesesuaian sekolah itu.

"Yang penting mesej pendidikan, kemanusiaan, kedamaian dan keamanan sejagat itu kena sampai. Pendidikan harus bermula dengan mesej yang kuat supaya mereka (murid-murid) berada dalam ekosistem yang dapat mempertahan dan mempersiapkan mereka dengan isu-isu di sekeliling mereka,” katanya.

Beliau berkata, program Minggu Solidariti Palestin yang dijalankan di semua sekolah KPM di seluruh negara berjalan dengan baik.

Fadhlina berkata, beliau yakin di sebalik pandangan dan saranan pelbagai pihak, mesej dan hasrat utama berhubung keamanan dan kemanusiaan menjadi tumpuan semua pihak seiring dengan pendirian kerajaan. - Bernama