GEORGE TOWN - Seramai 49 orang pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Convent Dato Kramat dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Convent Dato Kramat di sini mengalami keracunan makanan dipercayai akibat makan nasi lemak yang dijual di kantin.
Exco Kesihatan, Belia dan Sukan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang melalui Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut telah menerima dua notifikasi kes keracunan makanan daripada hospital swasta di Pulau Pinang melibatkan dua pelajar sekolah terbabit.
Menurutnya, siasatan dilakukan ke atas dua kes terbabit mendapati pelajar di SJKC Convent Dato Kramat dan SMJKC Convent Dato Kramat menggunakan kantin yang sama.
"Jumlah terdedah seramai 903 orang dan jumlah yang mengalami gejala keracunan makanan adalah seramai 49 orang iaitu 21 kes dari SJKC dan 28 kes dari SMJKC.
Daniel berkata, terdapat tiga kes telah dimasukkan ke hospital dan telah dibenarkan keluar dari hospital pada Khamis.
Katanya, sebanyak 14 kes telah mendapatkan rawatan di klinik swasta dan hanya dirawat sebagai pesakit luar manakala baki 32 peserta lagi yang bergejala ringan tidak mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan.
Malah tambahnya lagi, kesemua kes telah sembuh dan dalam keadaan sihat.
"Pendidikan kesihatan tentang keselamatan makanan dan kebersihan tangan telah diberi kepada semua pekerja kantin, guru dan pelajar sekolah termasuk pengendali makanan yang terlibat.
"Pemeriksaan kantin sekolah dan dapur pembekal makanan terbabit telah dijalankan dan markah pemeriksaan kantin sekolah adalah memuaskan.
"Bagaimanapun, terdapat beberapa penambahbaikan dari segi kebersihan yang perlu dilakukan oleh pihak kantin sekolah dan juga pembekal makanan terlibat," katanya.