PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) akan menerima pakai pendekatan pajakan bagi peranti perubatan, aset perubatan dan ambulans mulai tahun depan dalam usaha meningkatkan perkongsian awam-swasta yang lebih erat, kata Timbalan Ketua Setiausaha KKM (Kewangan), Datuk Seri Norazman Ayob.
Pada masa sama, beliau berkata, kementerian tidak lagi akan membeli aset perubatan secara terus kecuali untuk barangan tertentu yang bernilai rendah atau marginal.
Aset misalnya seperti mesin Pengimejan Resonans Magnetik (MRI), imbasan Tomografi Berkomputer (CT) dan ultrasound, akan dipajak.
"Kami akan memajak peranti perubatan berdasarkan asas sewa pajak untuk digunakan," katanya pada Persidangan Penjagaan Kesihatan KPJ, di sini pada Khamis.
"Kami juga akan memajakkan ambulans kami, dan kami juga tidak akan mempunyai ambulans sendiri lagi. Kami sedang mencari sumber luar perkhidmatan ambulans, termasuk penggunaan aplikasi digital dan pesakit tidak perlu lagi menghubungi nombor kecemasan.
"Ia seperti perkhidmatan Grab di mana kami boleh mengesan dan menjejak ambulans. Kami telah menetapkan petunjuk prestasi utama dari segi masa tindak balas ambulans," katanya.
Norazman berkata, kementerian juga akan menyumber luar beberapa perkhidmatan perubatannya, justeru sedang meneliti beberapa perkhidmatan perubatan tersebut seperti perkhidmatan kardiologi.
"Kami akan melihat kumpulan hospital swasta mana yang boleh memenuhi keperluan kami dari segi piawaian dan harga, dan kemudian kami akan mula menyumber luar pesakit kepada mereka.
"Selain menguruskan kesesakan di hospital, ini juga akan memberi peluang serta kemudahan kepada pesakit kita dan tidak lagi perlu datang jauh-jauh ke Kuala Lumpur contohnya IJN (Institut Jantung Negara). Kini mereka berpeluang atau mempunyai kemudahan untuk dirawat di hospital tempat mereka berada,” katanya. - Bernama