KONTRAK niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Khamis disokong oleh penurunan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), kata seorang penganalisis.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, pasaran emas disokong oleh konflik di Timur Tengah dan mendapat sokongan selanjutnya daripada dolar AS yang lebih lemah disebabkan oleh kenyataan kecenderungan menurunkan kadar faedah dalam mesyuarat Rizab Persekutuan.
"Dengan penurunan hasil 10 tahun dan data Institute for Supply Management (ISM) AS yang mengunjurkan ketidaktentuan pada masa depan, emas mungkin menerima rangsangan lain menerusi kemelesetan ekonomi AS,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, kontrak November 2023 naik kepada AS$1,998.10 setiap auns troy daripada AS$1,992.50 setiap auns troy, Disember 2023 meningkat kepada AS$2,008.00 setiap auns troy daripada AS$2,002.10 dan Januari 2024 menokok kepada AS$2016.30 setiap auns troy daripada AS$2010.40 setiap auns troy.
Kontrak untuk Februari 2024, April 2024 dan Jun 2024 semuanya ditutup pada AS$2,016.30 setiap auns troy.
Jumlah dagangan meningkat kepada 401 lot daripada 114 lot pada Rabu manakala kepentingan terbuka naik kepada 209 kontrak daripada 192 kontrak sebelum ini.
Harga emas fizikal berada pada AS$1,986.35 setiap auns troy, seperti yang diterbitkan oleh London Bullion Market Association pada 1 November. - Bernama