Tiga warga Bangladesh maut tertimbus dikenal pasti

Iklan
Anggota bomba menjalankan operasi mencari mangsa yang tertimbus.

KOTA BHARU - Polis sudah mengenal pasti tiga warga Bangladesh yang maut tertimbus dalam kejadian runtuhan tanah di tapak projek pembinaan jalan baharu di Kampung Maka, Pulai Chondong, Machang pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Muhamad Adli Md Daud berkata, mangsa dikenali sebagai Munirul, 31; Jahidul Khan, 20, dan Md Sajjad Hossain, 20.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 1.30 petang kesemua mangsa sedang bekerja dalam parit salur air sedalam kira-kira 4.8 meter sebelum tiba-tiba berlaku runtuhan tebing dan menimpa mereka.

"Operasi menyelamat bermula kira-kira jam 2 petang oleh bomba dan kerja-kerja menggali dengan bantuan jentolak.

Iklan

"Mangsa tertimbus terakhir ditemui pada jam 3.45 petang sebelum operasi ditamatkan. Mayat dihantar ke Hospital Machang untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Machang, Penolong Penguasa Bomba Ahmad Alfarra Mohamad Zin memberitahu, anggota bomba mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan kesemua mayat mangsa yang tertimbus.

Iklan

Menurut beliau, bomba menerima panggilan pada jam 1.44 petang sebelum tujuh anggota bersama dua pegawai bergegas ke lokasi.

"Mayat pertama ditemui pada jam 2.49 petang manakala mangsa kedua pada jam 3.39 petang diikuti mayat ketiga beberapa minit kemudian

"Kesemua mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.