Piala Malaysia: JDT mara ke final penuh bergaya

Iklan
Pemain-pemain JDT meraikan kejayaan mara ke final Piala Malaysia. - Foto FB Johor Southern Tigers

SKUAD Johor Darul Ta'zim (JDT) mengesahkan slot ke aksi final Piala Malaysia 2023 dengan penuh 'bergaya' apabila menewaskan Perak FC, 8-1 (aggregat 12-2) pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi.

Ia sekali gus memberi peluang cerah skuad Harimau Selatan untuk mengulangi kejayaan quadruple (empat trofi semusim) musim lalu.

Iklan
Iklan

Berbekalkan kemenangan 4-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Perak pada 19 Oktober lalu, skuad Harimau Selatan itu dilihat bermula garang sebaik wisel permulaan dengan mengasak hebat ke gawang pelawat bagi membuka jaringan.

Bagaimanapun, skuad Kejor Yob Kejor dilihat berjaya mengekang asakan-asakan sambil sesekali mengatur serangan berbahaya ke gawang lawan.

Iklan
Arif Aiman Mohd Hanapi berjaya melepasi kawalan pertahanan Perak FC. - Foto FB Johor Southern Tigers

JDT akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-11 apabila pemain kebangsaan, Arif Aiman Mohd Hanapi berjaya melepasi kawalan pertahanan Perak FC sebelum menewaskan Muhammad Farhan Abdul Majid untuk gol sulung perlawanan.

Tersentak dengan gol tersebut, kesebelasan Perak FC cuba bangkit dengan mengatur asakan bagi menyamakan kedudukan.

Iklan

Namun, skuad Harimau Selatan itu pula yang berjaya menambah gol hasil jaringan Bergson Da Silva pada minit ke-27 sebelum Heberty Fernandes menjaringkan gol ketiga pada minit ke-31.

Skuad Kejor Yob Kejor itu hampir merapatkan jurang gol pada masa kecederaan babak pertama, namun percubaan yang dilakukan gagal menewaskan penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed untuk kedudukan 3-0 kekal hingga tamat babak pertama.

- Foto FB Johor Southern Tigers

Bersambung babak kedua, skuad Harimau Selatan itu dilihat semakin mengasak hebat ke pintu gol Perak FC bagi membuka jaringan.

Kali ini giliran penyerang Fernando Forestieri menjaringkan gol keempat pada minit ke-52 sebelum Bergson menjaringkan gol kelima pada minit ke-59.

Pemain gantian, Syafiq Ahmad menjaringkan gol ke enam pada minit-61 dan seterusnya gol ke tujuh pada minit ke-77.

JDT kemudiannya dilihat mendominasi sepenuhnya permainan pada penghujung perlawanan dan sempat menambah satu lagi gol menerusi Heberty Fernandes pada masa kecederaan sebelum Perak FC menjaringkan gol saguhati menerusi Muhammad Firdaus Ahmad Fuad.