SOJC: Malaysia kecundang kali keempat

Iklan
Pemain Malaysia Shamir Shamsul dihalang dua pemain Great Britain Tom Spreckley dan Rory Penrose pada Perlawanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Taman Daya, pada Khamis. - Foto Bernama

MALAYSIA terus kecundang apabila merekodkan kekalahan keempat dalam Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) selepas tumpas 7-4 kepada Great Britain pada perlawanan penentuan tempat kelima hingga kelapan di Stadium Hoki Taman Daya, di sini pada Khamis.

Awal permainan, pasukan Great Britain tidak menunggu lama untuk membuka jaringan apabila menghasilkan gol seawal minit kelima menerusi pukulan sudut penalti Mathew Hughson.

Iklan
Iklan

Seakan mendapat rentak, pasukan kendalian Jon Bleby terus menambah jaringan kedua menerusi gol padang dari Ted Graves pada minit kesembilan.

Pasukan bimbingan Muhammad Amin Rahim terus tersentak apabila Great Britain terus mencipta gol ketiga menerusi gol padang oleh Ali Douglas pada minit ke 15.

Iklan

Tidak berputus asa, Skuad Young Tigers akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan apabila memperoleh gol pertama hasil pukulan sudut penalti oleh kapten pasukan Muhammad Faris Harizan minit ke -22.

Malaysia terus merapatkan jurang apabila Andywalfuan Jeffrynus berjaya menambah jaringan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke 24.

Iklan

Selang lima minit,skuad Young Tigers berjaya memperoleh gol penyamaan menerusi gol padang oleh Mohammad Harris Iskandar Osman pada minit ke-27.

Memasuki separuh masa kedua, pasukan kendalian Jon Bleby terus mempamerkan penguasaan dengan meledak dua gol hasil jaringan Jacob Payton menerusi gol padang pada minit ke-34 dan minit ke-42.

Pemain Malaysia Muhammad Norizam terjatuh diasak pemain Great Britain Ted Graves pada Perlawanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Taman Daya, pada Khamis. - Foto Bernama

Dua minit berselang, skuad remaja negara pula menambah jaringan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Muhammad Faris Harizan pada minit ke 44.

Bagaimanapun, Malaysia kembali berputih mata apabila Great Britain terus menjauhkan jurang apabila memperoleh gol keenam hasil gol padang oleh Henry Markham pada minit ke 49.

Terus menambah kekecewaan skuad negara, gawang terus bolos pada minit ke -54 dengan gol ketujuh menerusi pukulan sudut oleh Rory Penrose. Hasrat pasukan tuan rumah untuk mengejar terlewat dan keputusan kekal 7-4 sehingga tamat perlawanan.

Empat kekalahan berturut-turut menyaksikan Young Tigers hanya akan bertanding pada perlawanan penentuan tempat keenam dan kelapan. - Bernama

Jadual:

Jumaat

(Penentuan Tempat 7/8)

Afrika Selatan lwn Malaysia - 3.50 petang

Separuh Akhir 1

India lwn German - 5.50 petang

Separuh Akhir 2

Australian lwn Pakistan - 8.20 malam