IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mengurniakan makanan tengah hari kepada 7,100 banduan dan tahanan di negeri ini, sempena ulang tahun hari keputeraan baginda ke-67 yang disambut secara rasmi pada Jumaat.
Sumbangan disampaikan melalui Jabatan Penjara Perak itu melibatkan banduan di Penjara Tapah dan Taiping, tahanan Pusat Koreksional Kamunting dan penghuni Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah.
Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata, perkenan kurniaan itu dizahirkan atas sifat prihatin dan ehsan baginda terhadap kebajikan banduan dan tahanan di Perak.
"Sempen ulang tahun keputeraan tahun ini, baginda berkenan membiayai hidangan makanan tengah hari pada Jumaat (hari ini).
"Kurniaan ini melibatkan 7,100 banduan dan tahanan yang sedang menjalani hukuman," katanya dalam sidang akhbar di Laman Seri Ridzuan di sini pada Khamis.
Hadir sama, Setiausaha Dewan Negara, Datuk Seri Ayop Hashim.
Mohd Zahidi berkata, kurniaan baginda di Penjara Taiping akan diwakili beliau sendiri manakala Toh Paduka Indera yang juga Orang Besar Jajahan Batang Padang mewakili baginda di Penjara Tapah.
"Orang Kaya Menteri Paduka Tuan (Orang Besar Jajahan Larut, Matang dan Selama) mewakili baginda di Pusat Koreksional Kamunting dan Orang Kaya-Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa Diraja (Orang Besar Jajahan Kinta) di Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah," katanya.
Beliau berkata, sambutan tahun ini akan dimulakan dengan majlis bacaan Yasin dan doa selamat di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar pada waktu solat Jumaat.
"Majlis sama turut diadakan di semua masjid-masjid daerah di seluruh negeri diketuai Orang Besar Jajahan dan pegawai daerah masing-masing," katanya.
Berpandukan ketetapan Dewan Negara Perak, sambutan rasmi bagi Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak telah ditetapkan pada Jumaat pertama bulan November.
Pada tahun ini, sambutan rasmi bagi ulang tahun tersebut jatuh pada 3 November 2023.