CUACA yang tidak menentu dan konflik di beberapa buah negara adalah antara faktor yang menyumbang kepada krisis bekalan makanan dunia mutakhir ini.
Bibit-bibitnya mula terasa di negara kita apabila bekalan seperti ayam dan telur kurang di pasaran sehingga harganya melonjak dan membebankan rakyat.
Biarpun situasi tersebut belum sampai ke tahap terputusnya bekalan, namun ia mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat.
Lihat sahaja apa yang berlaku beberapa bulan lalu apabila kerajaan India mengambil keputusan menghentikan eksport beras mereka.
Tidak semena-mena, kita kekurangan bekalan sehingga harga beras import meningkat, sekali gus menuntut rakyat bertukar kepada beras tempatan yang jumlahnya terhad.
Terbaharu, India mengehadkan pula eksport bawang sehingga harga keperluan dapur tersebut meningkat di pasaran.
Sekali lagi negara kita terkesan dengan keputusan negara tersebut yang menyebabkan Malaysia perlu membayar RM3,822 bagi setiap tan bawang diimport.
Situasi tersebut tidak mustahil akan berulang dan memberi kesan kepada rakyat kerana negara kita masih bergantung kepada import makanan berjumlah RM70 bilion setahun.
Ini kerana Malaysia masih belum mampu menghasilkan bekalan makanan seperti bawang, jagung dan soya sedangkan mengimportnya perlu bagi menampung permintaan tempatan.
Mujur kerajaan bertindak pantas mewujudkan satu rancangan proaktif bagi menangani situasi berkenaan dengan memperkenalkan projek Inisiatif Usahawan Tani (INTAN).
Sebagaimana umum sedia maklum, INTAN merupakan satu daripada tiga komponen penting yang berada di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).
Ia boleh disifatkan sebagai strategi serampang dua mata kerana mampu memberi manfaat kepada rakyat dan negara.
Inisiatif tersebut berpotensi menyelesaikan masalah ekonomi harian rakyat seperti kekurangan bekalan makanan dan kenaikan harga barang dapur.
Lebih menarik, ia juga dikatakan mampu membasmi kemiskinan dengan menambah pendapatan rakyat miskin tegar dan B40.
Sungguhpun pelaksanaannya masih baharu namun INTAN mendapat respons yang positif daripada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Ramai yang mula membuka mata apabila satu demi satu projek pertanian diusahakan itu menunjukkan perkembangan positif.
Antara yang menarik perhatian ialah projek cili fertigasi di Putrajaya dan Petaling Jaya, tanaman jagung dan kacang soya di Tambunan serta nanas MD2 di Kota Marudu.
Kesemua projek tersebut dilaporkan bakal mengeluarkan hasil dalam jangka masa terdekat, sekali gus memberi manfaat kepada negara, termasuk peserta yang mengambil bahagian.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, projek rintis pertamanya di Putrajaya dijangka dapat menghasilkan lebih kurang 100 tan metrik cili fertigasi sebulan.
INTAN juga membantu pesertanya menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan, katanya.
Secara amnya, inisiatif diperkenalkan Kementerian Ekonomi itu memberi gambaran jelas bahawa kerajaan berjaya mewujudkan satu bentuk penyelesaian kepada masalah kekurangan bekalan makanan yang dihadapi negara.
Namun, sejauh mana keberkesanannya masih belum diketahui lagi kerana projek berkenaan masih lagi di peringkat awal dan memerlukan masa untuk mencapai proses matang.
Kerajaan masih lagi berusaha mengajak rakyat untuk menyertai projek tersebut bagi mengusahakan tanaman atau ternakan yang memberikan hasil dalam tempoh kurang dua tahun.
Berdasarkan data Kementerian Ekonomi, seramai 47,909 individu berpendapatan rendah layak menyertai IPR bagi ketiga-tiga kategori.
Justeru, sokongan rakyat terutamanya mereka yang layak menyertai INTAN itu amat-amat diperlukan bagi memastikan usaha kerajaan membantu rakyat itu benarbenar membuahkan hasil.
*Hafezdzullah Mohd Hassan ialah wartawan Sinar Premium.