ALOR SETAR - Seorang peniaga menjual aneka makanan termasuk kambing panggang pada harga RM3 di Jalan Datuk Kumbar, di sini, sejak enam bulan lalu.
Pemilik Rumah Kedai Tiga Ringgit, Noorwarda Mohd Noor, 31, berkata, harga makanan dijual hanya RM3 bagi memberi peluang kepada pelanggan menikmati pelbagai menu masakan.
Ibu kepada dua cahaya mata itu menjelaskan, pendekatan diambil selaras hasrat untuk berkongsi rezeki bersama orang ramai.
"Kami menawarkan lebih 100 makanan terdiri daripada menu Barat, Melayu, China dan Korea, malah turut menawarkan pelbagai menu pencuci mulut.
Noorwarda berkata, harga menu RM3 termasuk makanan vendor itu dirasakan murah dan berpatutan malah kuantiti disediakan sepadan dengan makanan berkenaan.
Katanya, dengan keadaan ekonomi sekarang, harga makanan tersebut masih berbaloi dan bersesuaian untuk seisi keluarga.
"Untuk kambing panggang, kami mengecilkan saiz makanan itu untuk dijual pada harga RM3 bagi membolehkan semua orang merasa.
"Kita hendak bagi semua orang merasa segala makanan ada tidak kira menu Barat atau tempatan.
"Jika buat saiz besar mungkin tidak mampu tapi saiz kecil semua mampu beli," katanya.
Menurutnya, walaupun sedikit namun dia masih mampu meraih keuntungan hasil jualan menu RM3 tersebut.
Tambah pemegang Diploma Kulinari dari Food Institite of Malaysia itu, setakat ini sambutan positif diterima daripada pelanggan.
"Alhamdulillah, kira-kira 500 orang akan datang ke kedai hampir setiap hari untuk mendapatkan makanan RM3 diinginkan," katanya.
Noorwarda memberitahu, kedainya yang beroperasi dibantu lapan pekerja itu dibuka bermula jam 12 tengah hari selama lima hari dari Ahad hingga Khamis.
"Ada ketika, makanan habis licin dalam tempoh dua jam hingga kedai ditutup awal pada jam 2 petang, dan ada ketika jam 3 petang atau lewat sedikit," katanya.
Menurut Noorwarda, untuk perancangan masa hadapan, dia akan membuka cawangan kedai terbabit berhampiran Aman Sentral dalam tempoh terdekat ini.