Saingan NSL 2023 hampiri kemuncak

Iklan
Jewels (jersi merah jambu) akan menentang Phoenix dalam aksi separuh akhir NSL 2023 di Bukit Kiara pada Sabtu. - Foto FB NSL (Gambar kecil: Adde Shah Naddra)

ASSALAMUALAIKUM dan Salam Sejahtera kepada semua pembaca Sinar Harian.

Kehangatan Liga Super Bola Jaring (NSL) 2023 kian terasa apabila empat gergasi iaitu Johor Jewels, KL Wildcats, Putrajaya Dynamites dan Perak Phoenix mengorak langkah penuh bergaya ke saingan separuh akhir pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Ia kemudian disusuli perlawanan akhir di Stadium Juara, Bukit Kiara pada Ahad.

Pemain-pemain import seperti Adri Sheila Jean Kannemeyer, Gayani Samanthika, Kumari Dissanayake, Namulumba Christine Kango, Kodondi Falidah, Nassanga Shadiah Ssegujja dan Nalwanja Shaffie antara watak utama membantu pasukan masing-masing mencapai tahap optimum.

Iklan

Jewels yang dilatih Tracie Robinson antara pasukan yang digeruni kerana mencatat rekod tanpa kalah menang kesemua tujuh perlawanan untuk menerajui carta liga dengan 21 mata.

Dalam aksi separuh akhir, Jewels yang merupakan juara bertahan akan membuat perhitungan dengan Phoenix, manakala finalis edisi lalu, Wildcats akan menguji pendatang baharu, Dynamites.

Iklan

Minggu lalu, peminat dihidangkan dengan aksi rancak Dynamites menentang Jewels yang memihak skuad dari Selatan tanah air itu 48-40 dan turut dipacu aksi mantap goal shooter (GS), An Najwa Azizan yang sudah menyumbat 277 gol.

Menariknya pencabar terdekat Jewels, Wildcats yang mengutip 18 mempunyai aura tersendiri apabila memiliki penjaring terbanyak, Nassanga Shadiah Ssegujja dengan 334 gol.

Wildcats yang dibimbing Norizan Rajab mempertaruhkan pemain muda pada edisi ketiga musim ini sudah pasti tidak akan memberi laluan mudah kepada Dynamites yang menghuni tempat ketiga liga dengan 15 mata.

Wildcats (jersi putih) dijadual menguji Dynamites dalam saingan separuh akhir NSL di Stadium Juara pada Sabtu. - Foto FB NSL

Kehadiran Dynamites yang dilatih Puah Pei San juga tidak boleh dipandang sebelah mata menerusi duo, Siti Maisarah Affandi dan L Karishma yang tidak asing lagi dalam arena bola jaring.

Dalam pada itu, kemenangan ke atas Pahang Tulips 63-40 memacu Phoenix untuk berada dalam kelompok empat terbaik sekali gus meraih tiket separuh akhir.

Penjaring kedua terbanyak liga, Christine Kango atau terkenal dengan julukan layup queen menerusi 333 gol menjadi taruhan Phoenix untuk mengancam kubu Jewels.

Aksi cemerlang Kodondi Falidah di benteng dengan kejayaan 34 defensive rebounds juga mungkin menyukarkan Jewels untuk menggegar jaring Phoenix.

Akhir kata, pastinya kelainan berbanding edisi lalu, NSL 2023 memberikan lebih banyak saingan kompetitif di antara pemain tempatan dan luar negara.

Ayuh! Sama-sama kita berikan sokongan padu kepada pasukan pilihan anda. Saya juga sangat teruja dan bersemangat untuk menyaksikan aksi minggu terakhir NSL 2023. #rulethecourt

* Adde Shah Naddra Din, Pengulas NSL 2023 & Bekas Atlet Kebangsaan