Kunjungan Tun M di Terengganu bincang SG4

Iklan
Dr Mahathir (tiga dari kanan) mengadakan pertemuan dengan Ahmad Samsuri (tiga dari kiri) serta kepimpinan kerajaan negeri di Pejabat Menteri Besar Terengganu di Wisma Darul Iman. - Foto Media MB Terengganu

KUALA TERENGGANU - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta kepimpinan kerajaan negeri bagi membincangkan mengenai perancangan pembangunan ekonomi di negeri berkenaan serta State Government 4 (SG4).

Mesyuarat tersebut diadakan secara tertutup selama hampir satu jam setengah di Pejabat Menteri Besar Terengganu di Wisma Darul Iman dekat sini, pada Khamis.

Iklan
Iklan

Menurut Pengerusi Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, pertemuan yang berjalan dalam suasana cukup positif itu turut memberi penerangan serta pencerahan mengenai kedudukan masa kini pelaburan di Terengganu serta negeri-negeri SG4 lain.

"Dalam sesi mesyuarat tersebut, Dr Mahathir menekankan mengenai penubuhan struktur rasmi SG4 bagi memulakan agenda pelaburan di empat negeri berkenaan secara pantas.

Iklan

"Kepimpinan SG4 mestilah berteraskan pada ‘business friendly state government’ bagi menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) ke negeri-negeri tersebut.

"Keempat negeri itu perlu digabungkan sebagai satu badan untuk melaksanakan agenda pelaburan yang menguntungkan semua pihak," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Iklan

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, beberapa pelaburan telah dikenal pasti untuk SG4 memulakan perancangan pelaburan secara kolektif bagi memanfaatkan empat negeri-negeri di bawah gabungan tersebut.

Dalam pada itu, Khairuddin menyatakan Dr Mahathir turut melakukan kunjungan ke kediaman Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Rusila, Marang.

Dr Mahathir turut melakukan kunjungan ke kediaman Abdul Hadi di Rusila, Marang. - Foto Media MB Terengganu

"Dr Mahathir juga menunaikan solat Zohor berjemaah di Masjid Rusila selain meluangkan masa selama hampir sejam bersama Abdul Hadi sebelum itu bagi membincangkan pelbagai isu negara masa kini.

"Dalam perjalanan pulang ke lapangan terbang, Dr Mahathir sempat membuat lawatan ke kilang usahawan makanan tempatan Adeqsue dan Muslim Food di Kuala Terengganu bagi memberi sokongan moral ke arah mengembangkan lagi perniagaan mereka," katanya.

Sebelum ini, empat negeri di bawah pentadbiran pembangkang iaitu Kedah, Kelantan Perlis dan Terengganu tampil dengan idea penubuhan SG4.

Antara langkah awal diambil selepas penubuhan SG4 ialah melantik Dr Mahathir sebagai penasihat bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu membantu menarik pelaburan terutama dari Jepun, China, Korea Selatan dan Timur Tengah.