KOTA BHARU - Seorang bayi berusia setahun, Muhammad Azril Azhar yang sebelum ini menderita penyakit sindrom Pfeiffer meninggal dunia pada Jumaat.
Muhammad Azril, anak kepada pasangan Azhar Che Amat, 52, dan Maznah Omar, 40, itu menghembuskan nafas terakhirnya semasa berada di rumah di Kampung Melor, di sini pada jam 9.30 pagi.
Maznah berkata, sebelum itu anak bongsu daripada tiga beradik itu dilihat berada dalam keadaan lemah sekitar jam 5 pagi sebelum meninggal dunia beberapa jam kemudian.
"Dua hari lalu saya ada membawa Muhammad Azril ke hospital untuk menjalani pemeriksan dan doktor memberitahu dia berada dalam keadaan sihat," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, ketika ini jenazah Muhammad Azril berada di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk pemeriksaan lanjut.
Maznah menjangkakan Muhammad Azril akan dikebumikan selepas solat Asar.
Sinar Harian 12 Julai lalu melaporkan, pasangan suami isteri dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Kelochor di sini sudah setahun lebih tidak dapat tidur nyenyak setiap kali memikirkan keadaan anak bongsu yang menghidap sindrom Pfeiffer.
Penyakit itu menyebabkan Muhammad Azril yang berusia setahun mengalami kepala yang besar serta perubahan pada bentuk wajahnya.