Kes Adib: Keputusan rayuan komital Peguam Negara 28 Januari

Iklan
Muhammad Adib

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 28 Januari depan untuk keputusan permohonan rayuan Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas berhubung prosiding komital yang difailkan bapa anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim terhadapnya pada 16 Julai lepas.

Hakim Datuk Meor Hashimi Abd Hamid menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar keterangan dan hujahan daripada pihak berkaitan berhubung kes berkenaan.

Iklan
Iklan

Ia susulan pada 27 Ogos lepas, Koroner Rofiah Mohamad membenarkan prosiding komital itu didengar di Mahkamah Koroner di sini sebelum Peguam Negara memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan tersebut iaitu dua hari kemudian.

Bagi permohonan rayuan itu, Tommy melantik dua peguam swasta mewakilinya iaitu Zainur Zakaria dan Datuk S Ambiga selain Peguam Kanan Persekutuan, S Narkunavathy serta Markiranjit Kaur manakala keluarga Muhammad Adib diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Iklan

Ambiga ketika ditemui pemberita selepas prosiding hari ini berkata antara hujahan dikemukakan pihaknya adalah mempertikaikan kelewatan keluarga Muhammad Adib memfailkan permohonan komital (menghina mahkamah) terhadap Peguam Negara berkaitan inkues kematian anggota bomba tersebut.

"Permohonan untuk komital difailkan pada Julai manakala kenyataan (Peguam Negara) itu dibuat pada 23 Mei 2019 iaitu dua bulan kemudian.

Iklan

"Untuk prosiding menghina mahkamah, mereka memfailkan terlalu lewat,” katanya.

Sementara itu Mohamed Haniff berkata, pihaknya telah kemukakan hujahan berkaitan permohonan komital itu dan berpuas hati dengan hujahan yang dikemukakan.

Pada 16 Julai lepas, bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid memfailkan permohonan perintah komital terhadap Tommy kerana menghina mahkamah berkaitan prosiding inkues bagi mencari punca kematian anaknya.

Permohonan ex-parte itu dibuat melalui Tetuan Mohd Zubir Embong & Associate di Pejabat Pendaftar Mahkamah Koroner.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lepas dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara. - Bernama