Tren terlanggar lori kelapa sawit

Iklan
Keadaan tren dan lori yang terbabit dalam kemalangan dekat Kampung Pisang, Jerantut pada Khamis.

JERANTUT - Seorang pemandu tren dan pembantunya cedera ringan selepas Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) DMU 04 yang dinaiki berlanggar dengan sebuah lori kelapa sawit di Kilometer 167.8 landasan kereta api Jerantut-Kuala Krau dekat Kampung Pisang di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Azman Mat Kamis memberitahu, dalam kejadian jam 5.30 petang, tren yang membawa 10 penumpang itu dalam perjalanan dari Jerantut, Pahang ke Gemas, Negeri Sembilan.

Iklan
Iklan

"Apabila tiba di tempat kejadian tiba-tiba sebuah lori jenis Toyota melintas dari kiri menghala ke kanan landasan kereta api sehingga menyebabkan berlaku perlanggaran.

"Akibat kemalangan ini, pemandu lokomotif yang berusia 35 tahun dan pembantunya berumur 26 tahun mengalami cedera ringan manakala semua penumpang kereta api tidak mengalami sebarang kecederaan,” kata beliau dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 300 penumpang cemas, tren terlanggar 14 ekor lembu

Ujar beliau, pemandu lori tidak dapat dikesan di tempat kejadian dan dipercayai telah melarikan diri.

Iklan

Jelas Azman lagi, kejadian itu menyebabkan kereta api tersebut pecah cermin hadapan dan calar bahagian kanan serta hampir keseluruhan bahagian lori tersebut remuk.

Sebelum ini, 336 penumpang Kereta Api Ekspres Rakyat Timuran (ERT) berdepan detik cemas apabila tren yang dinaiki mereka terlanggar 14 ekor lembu di Kilometer (KM) 84.5 hingga KM 84.75 di antara Bahau dengan Stesen Triang pada awal pagi Rabu.

Dalam kejadian jam 3.10 pagi itu, kesemua penumpang dan lima kru selamat namun haiwan ternakan tersebut ditemui mati di tempat kejadian.