PASIR MAS - Kekosongan jawatan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berikutan pemergian Datuk Seri Salahuddin Ayub pada Julai lalu hanya akan dapat diketahui selepas pemilihan Jawatankuasa Nasional Amanah sesi 2023-2026 Disember ini.
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, setakat ini, belum ada pencalonan atau mereka yang menawarkan diri bagi jawatan tersebut pada pemilihan itu.
Menurut beliau, sistem pemilihan dalam Amanah berbeza daripada parti-parti lain iaitu keputusan penetapan jawatan akan ditentukan melalui mesyuarat selepas selesainya pemilihan.
"Kita bertanding secara terbuka mengikut setiap kawasan manakala di peringkat pusat seramai 27 orang,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Amanah Kawasan Pasir Mas di Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Tendong di sini, pada Jumaat.
Akhbar sebelum ini melaporkan, Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah akibat pendarahan otak.
Mahfuz mengulas lanjut, tidak dapat membuat jangkaan mana-mana individu yang bakal menggantikan arwah kerana Mesyuarat Agung parti baru sahaja bermula.
Kata beliau, kawasan-kawasan yang bertanding juga belum ada pencalonan atau menghantar senarai itu.
"Apabila ada senarai calon baru boleh buat jangkaan, tetapi tak semestinya tepat sebab kalau orang itu kalah, dia tidak akan ada dalam senarai 27 untuk diangkat ke dalam mesyuarat dan dilantik dalam jawatankuasa,” ujarnya