KUALA NERUS - Seramai 180 peserta menyertai program Integrity Beach Clean Up 3.0 di Pantai Tok Jembal dekat sini pada Jumaat.
Program yang diadakan sempena Sambutan Bulan Integriti Nasional Tahun 2023 itu dianjurkan Unit Integriti, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Kelab Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah serta Rasuah Busters.
Katanya, peserta yang terlihat terdiri daripada pelajar, staf UMT dan ahli-ahli Rasuah Busters.
Pegawai Integriti UMT, Mohd Juhari Ab Kadir berkata, program berkenaan bertujuan membudayakan integriti alam sekitar selain memupuk kesedaran tentang bahaya rasuah.
"Kita guna slogan 'bersih pantai, bersih maruah' di mana meningkatkan kesedaran tentang membanteras gejala rasuah sekali gus memastikan nilai integriti menjadi salah satu tonggak dalam kehidupan semua pihak.
"Program ini diadakan bagi membentuk integriti peserta untuk membenci perbuatan rasuah malah Unit Integriti bersama Rasuah Busters juga beri penerangan dan tekankan untuk menyemai sikap membenci rasuah sekali gus menolak perbuatan tidak bermoral itu bermula dari peringkat awal," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas program Integrity Beach Clean Up 3.0 di Pantai Tok Jembal di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Mohd Juhari yang juga penganjur program berkata, antara aktiviti dilakukan sepanjang program berkenaan iaitu senamrobik, taklimat berkenaan tentang gerakan anti rasuah daripada Rasuah Busters serta membersihkan pantai selama dua jam.
"Selain memberi kesedaran tentang rasuah, kita juga tekankan nilai-nilai untuk sentiasa menjaga kebersihan dan amalkan budaya memulihara alam sekitar," jelasnya.