ALOR SETAR - Pihak berkuasa diminta menyiasat dan mengambil tindakan terhadap dalang yang membocorkan dokumen sulit Menteri Pertanian Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan rayuan tender Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).
Ketua Pemuda Amanah Kedah, Mohd Ridzwan Arshad Ahmad berkata, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar agar siasatan dilakukan kerana pembocoran maklumat tersebut telah menyalahi Akta Rahsia Rasmi 1972.
Menurutnya, pihaknya kecewa bagaimana dokumen tersebut yang disifatkan sulit dan persendirian boleh berada di dalam pengetahuan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
"Pada 21 November lalu, semasa berada di Pekan Guar Chempedak, Yan, saya telah menerima pesanan WhatsApp berkenaan Datuk Wee Ka Siong yang membuat pendedahan kononnya Datuk Seri Salahuddin Ayub telah menggunakan kuasanya untuk memberikan tender kepada Nafas melalui sepucuk surat kepada Perdana Menteri agar diberikan tender rundingan terus," katanya kepada media hari ini.
Mohd Ridzwan berkata, siasatan perlu dilakukan bagaimana dokumen sulit yang sepatutnya dirahsiakan boleh bocor dan diketahui oleh pihak luar.
"Saya memohon agar satu siasatan dilakukan terhadap individu yang dimaksudkan mengikut akta yang telah diperuntukkan bagi menjamin kestabilan dan kerahsiaan dokumen-dokumen daripada pihak kerajaan Malaysia," katanya.
Jelasnya, tindakan mendedahkan dokumen tersebut oleh pegawai berkaitan seumpama mahu mensabotaj kerajaan terutamanya Kementerian Pertanian dan Asas Tani.
"Perkara ini sepatutnya tidak berlaku (mendedahkan dokumen sulit). Perkara ini sebenarnya disokong oleh menteri untuk membantu Nafas kerana ahlinya sendiri terdiri daripada lebih 900,000 orang.
"Tapi dokumen ini dikeluarkan, disabotaj oleh individu yang mempunyai kepentingan dirinya sendiri," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut membuat laporan polis terhadap individu yang mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) dikuasai komunis.