'Saya sangat bangga dengan Nurul Ain' - Bapa

Iklan
Haron bangga dengan Nurul Ain kerana dalam keadaannya yang tidak menentu di Gaza, dia masih boleh buat kebajikan.

SHAH ALAM -"Saya sangat bangga dengan Nurul Ain kerana dalam keadaannya yang tidak menentu, dia masih boleh buat kebajikan."

Demikian kata Haron Hamim, 65, mengulas mengenai anaknya yang kini masih terperangkap di Semenanjung Gaza susulan perang Palestin-Israel sejak 7 Oktober lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Nurul Ain, 37, pernah memberitahu jika mempunyai ruang dia akan terus berbakti kepada rakyat di bumi berdarah tersebut.

"Dia ada beritahu sesiapa sahaja yang berada di tempatnya tidak boleh tengok sahaja penderitaan yang dialami rakyat Gaza.

Iklan

"Alhamdulillah, saya sangat bangga dengan dia, malah saya dan isteri juga reda dengan apa sahaja keputusan yang akan dia buat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Tambah Haron, kali terakhir dia berhubung dengan anaknya itu pada Khamis dan sempat berbual panjang.

Iklan

"Semalam dua kali Nurul Ain hubungi saya dan isteri, dia juga ada hubungi ahli keluarga yang lain. Alhamdulillah keadaannya baik," katanya.

Ujarnya, Nurul Ain turut memaklumkan dia kini sedang menunggu panggilan daripada Wisma Putra untuk keluar dari Gaza selepas pintu Rafah dibuka kembali.

Media melaporkan, pintu sempadan antara Gaza dan Mesir di Rafah dibuka buat pertama kali pada Rabu untuk pergerakan manusia keluar dari wilayah bergolak itu sejak ia ditutup pada 7 Oktober selepas serangan mengejut pejuang Hamas ke atas Israel.

Sementara itu, Nurul Ain menerusi perkongsian terbaharu di TikTok pada Khamis memaklumkan berjaya mengagihkan 500 pek makanan kepada 500 keluarga serta pelbagai barangan keperluan lain.

"Alhamdulillah terima kasih untuk segalanya. Terima kasih sangat juga kepada semua yang berkongsi rezeki kepada mereka. Semoga ALLAH SWT membalas segala kebaikan anda semua.

"Terus berdoa untuk kami semua dan diharap ada keajaiban gencatan senjata nanti," katanya.

Nurul Ain yang tinggal di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersama suaminya, Mohamed Adnan Shaat, 33, sebelum ini dilaporkan berada di Gaza kerana bercuti.

Perkongsian Nurul Ain mengenai situasi semasa yang berlaku di Gaza selepas mengikuti suaminya yang juga rakyat Palestin pulang bercuti sebelum perang tercetus mendapat perhatian ramai.