PENDAYUNG Persatuan Sukan Kanu Pahang (PSKP), Khairul Naim Zainal membuktikan statusnya selaku atlet kebangsaan apabila menjuarai Peringkat 1 Pahang Ocean Paddle International Challenge (POPIC) 2023 di Pantai Rantau Panjang, Rompin pada Jumaat.
Tampil buat kali pertama pada kejohanan kanu antarabangsa yang memasuki edisi kedua itu, Khairul Naim nyata berada dalam kelas tersendiri apabila muncul juara kategori Kebangsaan SS1 lelaki dengan catatan masa 1 jam 5 minit dan 56.18 saat (s).
Khairul Naim meninggalkan dua pencabar terdekatnya dari Johor - Montoya Raw dan Mirza Adli Shaharaziz yang masing-masing menamatkan perlumbaan sejauh 14 kilometer (km) itu di tempat kedua dan ketiga.
"Syukur alhamdulillah atas kemenangan pada hari ini (Jumaat). Sebenarnya tidak ada rahsia yang khusus, tetapi saya hanya cuba menampilkan kayuhan yang baik daripada awal sehingga penghujung perlumbaan.
"Daripada segi cabaran, memang saya akui agak mencabar dan jarak perlumbaan juga agak jauh.
"Ini perlumbaan pertama dalam acara sebegini dan saya banyak belajar terutamanya dalam mengawal kanu," katanya ketika sidang akhbar pada Jumaat.
Khairul Naim juga optimis akan terus perbaiki prestasinya bagi menghadapi perlumbaan akan datang.
"Saya cuba kekalkan kedudukan selaku pendahulu ini sehingga peringkat terakhir di Kuantan nanti,” katanya.
Kategori Kebangsaan SS1 wanita pula menyaksikan pendayung Johor, Nur Atasha Nabila Saring muncul juara dengan catatan 1:10:23:67s, manakala dua wakil Selangor - Nor Ismalina Isnadi (1:37:41.24s) dan Nor Amirah Nabila Amir (1:37:58.04s) di tempat kedua dan ketiga.
"Kemenengan hari ini (Jumaat) tidak semudah yang disangka. Ia satu perlumbaan yang agak mencabar, tetapi saya gembira apabila dapat mengekalkan momentum sejak awal perlumbaan sehingga berjaya melintasi garisan penamat.
"Saya akui ketiadaan juara edisi lalu, Aimi Ayumi Azwan membuka peluang bagi saya untuk menjuarai kategori ini.
"Saya harap dapat kekalkan prestasi sebegini pada dua peringkat akan datang di Pekan dan Kuantan," ujarnya.
Johor terus menguasai Pantai Rantau Panjang apabila tiga wakilnya berjaya muncul juara dalam kategori Terbuka Malaysia TK2 lelaki selain Inter Varsiti lelaki dan wanita yang melibatkan jarak perlumbaan sejauh 6km.
Gandingan Ahmad Ariff Rasydan-Muhd Shahrin Haziq Mohd Shahbiree menjuarai kategori Terbuka Malaysia TK2 lelaki dengan catatan masa 38:42.95s, diikuti Nik Afiq Nik Mazli-Muhammad Azri Iskandar Muhamad Azrul (Pahang) dan Muhammad Mustaqim Zulkarnain-Muhammad Adwa Danish Lukman (PSKP).
Kategori Inter Varsiti lelaki pula menyaksikan Muhammad Bahij Rabbani Mohamad Rizal-Muhammad Ridzuan Abdul Aziz muncul juara dengan catatan 13:30.99s, manakala dua wakil Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) - Hassan Al Basri Ali-Muhammad Naiem Shahmi Mahusin dan Mohd Danish Firdaus Mohamad-Muhammad Saiwan Saifullah Shamrin masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Nur Amirah Aqilah Abdul Kadir-Siti Nurul Masyitah Md Elias pula meneruskan dominasi Johor apabila menjuarai kategori Inter Varsiti wanita dengan masa 14:52.78s, diikuti gandingan Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Rabiahtul Saba Adawiyah Rasidi-Nur Aina Natash Riduan dan satu lagi wakil Johor, Nur Syahirah Fuad-Murni Mohd Hidayat.
Kategori Terbuka Malaysia TK2 wanita menyaksikan gandingan UNISZA, Dayang Nur Hanisah Awang Ali-Siti Aisyah Norazhar mencipta kejutan apabila muncul juara dengan catatan 43:58.02s, diikuti Nor Azita Ibrahim-Nursaibah Syahida Ibrahim (RMP Paddlers) dan Nur Dayana Saffiyah Mohd Nazri-Shini Abdullah (Viking UiTM).
Peringkat 2 dijadualkan berlangsung di Pantai Lagenda, Pekan pada Sabtu, sebelum POPIC 2023 yang menampilkan hampir 150 peserta dari dalam dan luar negara melabuhkan tirainya di Pantai Teluk Cempedak, Kuantan pada Ahad.