Kes i-Serve: Polis terima 67 laporan babit kerugian RM81 juta

Iklan
Ramli Mohamed Yoosuf.

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 67 laporan berhubung penipuan pelaburan i-Serve sehingga Jumaat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, satu lagi kertas siasatan dibuka berhubung kes berprofil tinggi tersebut.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kes i-Serve sebelum ini disiasat melibatkan perundangan di bawah pengubahan wang haram (AMLA).

Kata beliau, menerusi jumlah laporan diterima daripada 67 individu yang merupakan mangsa, ia melibatkan jumlah kerugian keseluruhan berjumlah RM81.6 juta.

Iklan

"Untuk laporan yang diterima polis sehingga ini, kita telah membuka satu kertas siasatan lain iaitu melibatkan penipuan.

"Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan," katanya pada sidang akhbar pada Jumaat.

Iklan

Sebelum ini, polis menahan lapan individu termasuk pengasas bergelar 'Datuk' bersama anak dan isterinya serta seorang peguam syarikat pelaburan tersebut bagi siasatan lanjut.

Namun kesemua suspek dibebaskan dengan jaminan polis.

Sementara itu, Ramli berkata, pihaknya menerima 41 laporan berhubung kes penipuan langganan prabayar percuma yang menggunakan nama sebuah syarikat telekomunikasi ternama negara.

Menurutnya, dianggarkan nilai kerugian melibatkan perbuatan penipuan tersebut sebanyak RM26,265.

Jelasnya, mangsa dipercayai menerima panggilan telefon dan ditawarkan pakej langganan selama tiga bulan berserta hadiah wang tunai.

"Mangsa diminta menekan pautan yang diberikan menerusi pesanan ringkas, seterusnya mengikuti semua arahan diberikan termasuk memberikan nombor 'one time password' (OTP).

"Prosedur tersebut kononnya perlu dilakukan atas alasan pengesahan penerimaan hadiah," ujarnya.