ALOR SETAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah berjaya mematahkan cubaan menyeludup 40,000 liter diesel ke negara jiran di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, dekat sini, pada Khamis.
Pengarahnya, Affendi Rajini Kanth berkata, hasil maklumat risikan KPDN Kedah bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan sebuah lori tangki bernombor pendaftaran Thailand semasa operasi jam 3 petang.
Beliau memaklumkan, pasukan penguat kuasa KPDN Kedah seterusnya bertindak menyita lori tersebut yang berisi barang kawalan iaitu minyak diesel yang dianggarkan lebih 40,000 liter.
"Turut disita adalah pam dan peralatan memindah diesel di tempat kejadian.
"Seorang pemandu lori warganegara Thailand dan juga penjaga stor warga tempatan turut ditahan bagi tujuan siasatan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Affendi memberitahu, hasil operasi bersama ini telah menyelamatkan bahan kawalan yang dianggarkan bernilai RM142,705.50 dibawa masuk ke negara jiran.
"Sitaan lain termasuk lori tersebut dianggarkan berjumlah RM130,780, sekali gus menjadikan nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM273,485.50," katanya.
Beliau berkata, sindiket tersebut dipercayai memindahkan diesel daripada lori tangki tempatan kepada lori tangki bernombor pendaftaran Thailand bagi memudahkan urusan rentas sempadan negara.
Sehubungan itu, kata Affendi, siasatan akan dijalankan bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Tambah beliau, KPDN Kedah memberi amaran keras dan menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti penyelewengan barang kawalan ini.