ALOR SETAR - Malaysia berada di landasan yang tepat dan mengalami perkembangan ekonomi yang positif selepas hampir setahun ditadbir Kerajaan Perpaduan.
Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, Wong Kah Woh berkata, kerangka ekonomi Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mengambil alih kerajaan pada November tahun lepas kini sudah mula menampakkan hasil.
Menurutnya, sehubungan itu, rakyat harus bijak mengekalkan kerajaan sedia ada agar negara kembali ke era kegemilangannya seperti sebelum ini.
"Selepas hampir genap setahun mentadbir, kita dapat lihat hari ini negara kita sudah mula berada di landasan yang betul dan positif.
"Ia akan membawa negara kita terus ke hadapan,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen DAP Kedah 2023 di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew serta wakil pimpinan Pakatan Harapan (PH) Kedah.
Kah Woh berkata, antara pencapaian terbaik negara dalam tempoh enam bulan pertama ialah berjaya mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.2 peratus.
"Ia dalam lingkungan sasaran kita pada tahun ini yang menyasarkan pertumbuhan ekonomi antara empat hingga lima peratus.
"Indeks daya saing pula melonjak ke kedudukan 27 pada tahun ini berbanding tahun lepas di tangga ke-32.
"Ini merupakan sejarah negara apabila kali pertama kita berjaya mengatasi Korea yang terkenal dengan daya saing mereka,” ujarnya.
Menurutnya, kerajaan juga berjaya meredakan indeks harga pengguna kepada 1.9 peratus setakat ini.
"Semua itu merupakan pencapaian kita dalam masa setahun.
"Sekiranya kita diberikan masa lima tahun, 10 tahun, saya percaya Malaysia akan terus maju dan kembali ke era kegemilangan,” jelasnya.
Kah Woh percaya, ia mampu dicapai menerusi pelan ekonomi Madani yang dilancarkan Julai lalu untuk membawa Malaysia lebih maju dalam tempoh sasaran 10 tahun akan datang.
"Antara sasaran kita dalam 10 tahun itu, kita mahu Malaysia menjadi negara ekonomi paling besar dan menduduki 30 kedudukan teratas dunia.
"Sasaran kita seterusnya untuk memastikan Malaysia menduduki kedudukan 12 teratas dalam indeks daya saing global.
"Selain menyasarkan defisit fiskal tidak melebihi tiga peratus,” jelasnya.
Menurutnya lagi, paling penting adalah untuk memulihkan negara daripada gejala rasuah dan mampu menduduki kedudukan 25 teratas dalam indeks persepsi rasuah.
Dalam pada itu, Kah Woh mengumumkan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP akan melancarkan semula program pendidikan politik parti itu.
"Program pendidikan politik kita amat penting untuk memastikan semua lapisan pimpinan sama ada daripada ahli jawatankuasa DAP negeri, ahli-ahli akar umbi atau veteran mahupun ahli yang baru sertai parti diberikan pendedahan sewajarnya.
"Kita akan hubungi setiap negeri untuk anjurkan program pendidikan politik DAP untuk berikan taklimat dan latihan kepada ahli-ahli parti,” jelasnya.