MELAKA - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu dua tahun lalu.
Muhammad Muhaimin Lau Abdullah, 46, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan utama dan pilihan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Berdasarkan pertuduhan pilihan, dia telah menggunakan dengan niat untuk memperdayakan prinsipalnya suatu dokumen iaitu satu Surat Pernilaian Harga Bagi Kenderaan Milik Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd.
Surat berkenaan merupakan penilaian harga semasa untuk kedua-dua kenderaan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka dengan nilaian RM36,000 bagi Toyota Fortuna 4WD dan RM20,000 bagi Toyota Hilux.
Prinsipal tertuduh, Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd mempunyai kepentingan mengenainya yang mengandungi butir matan yang palsu iaitu mengenai pelupusan dan pertukaran hak milik kenderaan kepada tertuduh selaku Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Lembaga Pengarah di Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd.
Kesalahan itu dilakukan pada April 2021 di Pejabat Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd yang mana sebenarnya surat penilaian harga semasa bagi kedua-dua kenderaan oleh JKR Melaka adalah RM50,000 bagi Toyota Fortuna dan RM35,000 bagi Toyota Hilux.
Perbuatan tersebut dalam pengetahuan tertuduh yang bermaksud untuk mengelirukan prinsipalnya.
Kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta yang sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Manakala untuk pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Akta yang sama kerana tidak jujur menggunakan sebagai tulen dokumen berkenaan.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Pegawai Pendakwa Raya SPRM Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan jaminan antara RM10,000 hingga RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melaporkan diri sekali sebulan di pejabat SPRM Melaka.
Tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork merayu jaminan rendah RM6,000 kerana tertuduh tidak lagi bekerja selepas diberhentikan selain perlu menanggung isteri dan empat anak masih bersekolah selain mengidap penyakit kencing manis dan hati.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dan syarat tambahan seperti dicadangkan pendakwaan dan menetapkan sebutan semula kes pada 11 Disember depan.