KUALA LUMPUR – India sepatutnya malu dengan Malaysia dan negara Islam lain yang menerima pendatang dari negara itu sebagai rakyat susulan India meluluskan Akta Pindaan Kewarganegaraan bersifat diskriminasi terhadap orang Islam.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan India kini mengundang masalah kepada negaranya apabila meluluskan rang undang-undang (RUU) kontroversi yang memberi kerakyatan kepada pendatang haram dengan syarat mereka bukan beragama Islam.
"Perubahan yang berlaku di India kini mengundang masalah besar kepada negaranya sendiri, sama ada dalam negara atau hubungan antarabangsa.
"Sepatutnya juga India menyedari betapa ramainya kaum India diterima menjadi pekerja dan bermaustautin di negara umat Islam, khususnya negara Arab yang paling rapat dengan Islamnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, adalah tidak wajar sebuah negara besar seperti India boleh terpengaruh dengan propaganda Islamofobia yang ditaja oleh barat terhadap umat Islam.
"Tindakan tersebut adalah budaya pilih kasih atau ‘double standard’ paling ketinggalan di zaman bertamadun terkini yang dikenakan terhadap umat Islam yang banyak berjasa kepada tamadun seluruh dunia termasuk India dan tidak menghargai moral umat Islam terhadap sifat perikemanusiaan yang masih terpelihara, walaupun Islam dalam keadaan tiada negara yang kuat menaunginya.
"Apakah negara seperti India boleh terpengaruh dengan Barat yang pernah menjajahnya, sehingga merasakan dirinya sebahagian daripada dunia barat, bukan berada di benua Asia?
"Apakah India belum merdeka maruah dan jiwanya, walaupun penjajah Barat sudah keluar daripada buminya?” soalnya.
Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu berucap pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 mengkritik penggubalan undang-undang baharu CAA oleh kerajaan India.
"Saya kesal India yang mendakwa merupakan sebuah negara sekular, kini mengambil tindakan untuk menafikan hak kewarganegaraan sebilangan rakyatnya beragama Islam.
"Ramai yang menderita disebabkan undang-undang ini,” kata Dr Mahathir.
Seorang pegawai rasmi kerajaan India dipetik berkata, kenyataan Dr Mahathir tidak selaras dengan amalan diplomatik yang menetapkan tiada campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain.
"Malaysia diminta mengambil pandangan jangka panjang dan strategik mengenai hubungan dua hala,” katanya memetik laporan akhbar Times of India.
ARTIKEL BERKAITAN India panggil Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, bantah kenyataan Tun M