KUALA LUMPUR - Perbuatan mempamerkan senjata mainan itu bagus dan ia tidak bersifat keterlaluan, kata Duta Palestin di Malaysia, Walid Abu Ali.
Menurutnya, usaha rakyat Malaysia yang menyokong solidariti Palestin dari semua peringkat termasuk murid sekolah merupakan tindakan proaktif menentang serangan Israel.
"Sokongan Malaysia terhadap Palestin tidak perlu dipersoal lagi dan kami sangat menghargai semua usaha yang menyokong perjuangan rakyat Palestin menentang penjajahan Zionis.
"(Tetapi) Saya fikir adalah tidak praktikal untuk memikirkan rakyat Malaysia akan pergi dan berjuang di Palestin. Malaysia terlalu jauh, secara geografi," katanya dalam sidang akhbar di pejabat Kedutaan Palestin di sini pada Jumaat.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, penularan video berdurasi 55 saat di media sosial telah menimbulkan kontroversi apabila terdapat adegan guru mengacu senapang mainan sambil mengibarkan bendera Palestin di perhimpunan solidariti.
Susulan kontroversi tersebut, kumpulan 12 wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengkaji semula program tersebut kerana bimbang mempunyai unsur keterlaluan.
Dalam pada itu, Walid berkata, tindakan memboikot barangan dan perkhidmatan daripada syarikat milik Israel di negara ini berjaya memberi kesan terhadap ekonomi.
Katanya, usaha tersebut sedikit sebanyak mengurangkan penderitaan rakyat Palestin.
"Saya menggalakkan rakyat Malaysia, rakyat Palestin, orang Arab dan semua umat Islam yang percaya kepada hak asasi manusia serta demokrasi, untuk melakukan sekurang-kurangnya paling minimum dalam memboikot semua sokongan terhadap Israel.
"Justeru, saya fikir dalam tempoh tiga minggu kebelakangan ini, kita dapat melihat betapa terjejasnya (perniagaan) mereka, ini mampu menjadi tekanan ke atas kerajaan Israel sekarang,” jelasnya.
Sementara itu, Walid berkata, pertubuhan antarabangsa perlu bertindak segera membantu menamatkan krisis kemanusiaan dan peperangan yang mengorbankan ribuan nyawa kanak-kanak termasuk wanita.
Katanya, keadaan getir yang dihadapi oleh penduduk di Gaza dan Jabalia terus meruncing sehingga sukar mendapatkan bekalan air bersih termasuk makanan dan bantuan perubatan.
Menurutnya, usaha tentera Zionis yang masih melakukan serangan agresif tanpa henti adalah sebagai usaha mengusir penduduk Palestin daripada tanah milik mereka.
"Peperangan perlu dihentikan segera. Kami tidak mahu sambut Hari Nakba (malapetaka) baharu apabila Israel terus melakukan pembunuhan di Gaza atau Jurusalem.
"Kami mengharapkan bantuan rapi dapat disalurkan segera bagi menghentikan penderitaan rakyat Palestin,” katanya.
Pada Khamis, media antarabangsa melaporkan, dalam tempoh kurang daripada 24 jam, jumlah mangsa akibat serangan udara tentera rejim Zionis Israel ke atas kem pelarian Jabalia mencecah lebih 1,000 orang, menurut laporan terbaharu Pejabat Media Kerajaan Gaza.
Angka ini termasuk 195 mangsa yang disahkan maut, 120 yang masih hilang dan sekurang-kurangnya 777 yang lain cedera.