SHAH ALAM - Doktor adalah profesion paling dipercayai dalam kalangan rakyat Malaysia, mendahului senarai lima kerjaya terbaik melibatkan guru, saintis, tentera dan hakim.
Sementara itu, ahli politik merupakan profesion paling kurang dipercayai berbanding tujuh bidang pekerjaan lain termasuk eksekutif pengiklanan, menteri kerajaan, wartawan, pegawai agama, penjawat awam, pemimpin korporat dan peguam.
Dapatan kajian Firma Penyelidikan Pasaran Ipsos Sdn Bhd (Ipsos) menerusi Indeks Kepercayaan Global 2023 memaklumkan, sebanyak 58 peratus rakyat Malaysia berpandangan bahawa doktor dan guru masih mendahului dan merupakan profesion paling dipercayai meskipun tahap kepercayaan tersebut merosot pada 2021.
Ia diikuti dengan profesion saintis dan tentera iaitu 49 peratus, hakim (43 peratus), pegawai bank (41 peratus), polis (37 peratus), pembaca berita (37 peratus), peninjau pendapat awam (37 peratus) dan lelaki atau wanita kebanyakan (36 peratus).
Sampel kajian yang melibatkan 500 peserta dari Malaysia itu turut mendapati ahli politik merupakan profesion paling kurang dipercayai dengan kadar sebanyak 20 peratus diikuti dengan eksekutif pengiklanan (24 peratus), menteri kerajaan (26 peratus), wartawan (27 peratus), pegawai agama (29 peratus), penjawat awam (30 peratus), pemimpin korporat (31 peratus) dan peguam (36 peratus).
Dalam pada itu, kajian berkenaan turut menghimpunkan dapatan secara global melibatkan seramai 22,816 peserta di 31 negara dan ditemu bual secara dalam talian pada 26 Mei hingga 9 Jun tahun ini.
Pengurus Kajian Kanan Perhubungan Awam Ipsos, Azamat Ababakirov berkata, senarai profesion yang paling dipercayai di Malaysia kekal tidak berubah dalam tempoh dua tahun lepas.
"Namun demikian, secara keseluruhannya, tahap kepercayaan terhadap profesion yang berlainan menurun dengan ketara sejak Oktober 2021, semasa fasa akhir perintah kawalan pergerakan.
"Tahap kepercayaan yang tinggi sebelumnya iaitu pada 2021 mencerminkan peningkatan interaksi rakyat Malaysia dengan sistem penjagaan kesihatan dan penetapan pembelajaran secara di luar talian dengan sekolah semasa tempoh pandemik,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Ujar beliau, kerjaya doktor di negara ini masih meraih tahap kepercayaan yang tinggi selepas dua tahun pandemik Covid-19.
"Rakyat Malaysia terus menaruh kepercayaan tinggi kepada golongan pendidik, saintis, dan angkatan tentera.
"Pada masa sama, ahli politik masih lagi menduduki tempat sebagai profesion yang paling kurang dipercayai di Malaysia dan di seluruh dunia,” ujarnya.