KUALA LUMPUR - Tiada keperluan untuk Kerajaan Perpaduan menawarkan sebarang projek kepada mana-mana Ahli Parlimen untuk mendapatkan sokongan seperti yang didakwa dua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).
Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil berkata, sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan pada waktu ini adalah cukup baik dan mencecah 149 Ahli Parlimen.
Iklan
Iklan
Media hari ini melaporkan Ahli Parlimen Besut Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh dan Ahli Parlimen Kubang Pasu Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail, kedua-duanya daripada PN mendakwa ditawarkan projek di kawasan Parlimen mereka sebagai imbuhan kepada sokongan terhadap kerajaan.
Berhubung kenyataan Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mendakwa majoriti rakyat mahu parti gabungan itu mengambil alih tampuk pentadbiran negara, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital berkata, ia hanya sekadar untuk menyedapkan"halwa telinga” sendiri dan kumpulan penyokong.
"Alangkah baiknya kalau Hamzah berjaya pujuk pimpinannya untuk terima pelawaan Perdana Menteri sejak dari hari pertama lagi (untuk bersama Kerajaan Perpaduan seperti titah nasihat Tuanku Yang di-Pertuan Agong) atau seperti yang dipelawa awal tahun ini.
"Malah diulang lagi semalam, iaitu untuk bertemu (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Fadillah Yusof dan berunding isu peruntukan (kawasan Parlimen).
"PN tidak hilang maruah atau martabat mereka menjadi rendah jika duduk berunding seperti disarankan Perdana Menteri, katanya sambil menambah Pakatan Harapan juga pernah duduk berunding dan akhirnya yang menang ialah rakyat," katanya. - Bernama.