IPOH - Seorang wanita berdepan detik mencemaskan apabila dijadikan tebusan dalam satu rompakan bank di Taman Silibindi sini petang tadi.
Dalam kejadian sekitar jam 4 petang itu, seorang lelaki bertindak mengacukan pistol ke kepala wanita terbabit bertujuan mengugut pekerja bank menyerahkan wang.
Bimbang kejadian buruk berlaku, pekerja berkenaan kemudiannya menyerahkan wang tunai kira-kira RM28,000 sebelum suspek berjaya melarikan diri.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Zaihairul Idrus berkata, wanita berusia lingkungan 50-an itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Tiada sebarang tembakan dilepaskan dan ketika dijadikan tebusan, wanita itu tidak dicederakan.
"Mangsa hanya mengalami trauma akibat ketakutan dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan susulan berikutan menghidap penyakit jantung," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Menurutnya, ketika kejadian terdapat tiga pelanggan berada dalam bank berkenaan, namun hanya seorang dijadikan tebusan.
"Kejadian berlaku hanya dalam tempoh tiga hingga empat minit sahaja, kebetulan pengawal keselamatan yang bertugas tidak berada di bahagian kaunter kerana berada di ruangan pejabat bank terbabit," katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, suspek memasuki bank berkenaan secara bersendirian melalui pintu di ruangan pengeluaran wang automatik (ATM) dengan memakai topi keledar berpenutup muka gelap dan berbaju lengan panjang.
Katanya, selepas mengarahkan pekerja bank memasukkan wang ke beg berwarna hitam, suspek melarikan diri dipercayai dengan sebuah kereta yang sedia menunggu di luar bank.
"Polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bank dan premis-premis berhampiran, ini termasuklah mengenal pasti sama ada senjata digunakan adalah senjata api sebenar.
"Siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu," katanya.