PENYERANG Johor Darul Ta'zim (JDT), Syafiq Ahmad yang jarang diturunkan dalam kesebelasan utama dan kurang minit permainan membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila meledak dua gol di Iskandar Puteri pada malam Khamis.
Ketajaman di depan gawang dibuktikan ketika pemain berusia 28 tahun itu membantu skuad Harimau Selatan membelasah Perak FC 8-1 untuk mara ke pentas final Piala Malaysia dengan agregat 12-2 di Stadium Sultan Ibrahim.
Sentuhannya itu juga mungkin boleh membuka mata ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon untuk menyenaraikannya dalam aksi Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada 16 November ini.
Syafiq meluahkan rasa syukur dengan kejayaan itu dan dapat membantu JDT ke pentas akhir untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia 2023.
"Jika diberi peluang saya bertekad untuk beri yang terbaik dan tidak akan mensia-sia peluang berlatih bersama skuad kebangsaan.
"Saya ingin membantu pasukan kebangsaan dan terpulang pada jurulatih (Pan-gon) untuk menilai setiap pemain,” katanya.
Syafiq bagaimanapun enggan cepat berpuas hati dengan prestasinya itu kerana setiap posisi termasuk penyerang wujud persaingan yang sengit.
"Setiap individu akan berikan yang terbaik mengikut arahan taktikal dan ini adalah kekuatan kami sebagai Keluarga JDT.
"Setiap kali diberikan peluang saya akan buat yang terbaik untuk pasukan.
"Di JDT setiap pemain perlu bersedia diturunkan dan akan berikan yang terbaik apabila diberikan peluang. Di sini bukan tempat untuk main-main, ini adalah tempat yang serius dan setiap pemain akan berikan sesuatu,” katanya.
Syafiq menjelaskan sesi latihan bukan sekadar biasa-biasa, tetapi berintensiti tinggi dan pemain tidak boleh culas, malah perlu serius.
"Setiap pemain ingin buktikan mereka layak bermain dalam skuad Harimau Selatan.
"Cabaran di JDT kerana semua pemain di sini adalah terbaik.
"Tak kisah siapa pun kami jumpa di final dan kita akan berikan 100 peratus dalam perlawanan akhir nanti,” katanya.